PEMAIN TFC menjalani latihan sebelum berdepan Negeri Sembilan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. FOTO GHAZALI KORI
PEMAIN TFC menjalani latihan sebelum berdepan Negeri Sembilan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. FOTO GHAZALI KORI
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pengendali Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner menuntut anak buahnya mencari gol awal apabila pasukannya bakal melayani kunjungan Negeri Sembilan FC (NSFC) pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, malam esok.

Jelas pengendali kelahiran Croatia itu, jaringan minit awal penting bagi menambah lagi motivasi pemain selain memberikan tekanan kepada pihak lawan lebih-lebih beraksi di tempat sendiri.

Katanya, keputusan seri tanpa jaringan ketika berdepan PDRM FC pada aksi terakhir dua minggu lalu walaupun berpeluang melakukannya perlu dijadikan pengajaran berguna terutama jentera serangan untuk memburu seberapa banyak gol dalam misi melakar kemenangan.

"Gol awal begitu penting bagi meningkatkan lagi keyakinan pemain dalam misi untuk melakar kemenangan selepas sekadar seri pada dua aksi terakhir berdepan KL City FC dan PDRM FC.

"Jadi saya sudah ingatkan pemain berkenaan perkara itu (jaringan awal), tapi pemain juga perlu sabar dan terus berusaha mencipta gerakan menarik untuk menjaringkan gol jika ia tidak berlaku dalam masa yang diinginkan.

"Selain itu mereka juga perlu agresif dengan meningkat lagi daya dan kemahuan yang tinggi berbanding pihak lawan dan pada masa sama berjuang habis-habisan hingga minit terakhir perlawanan tanpa ada sikap berputus asa," kata jurulatih yang lebih mesra dipanggil 'Tommy' itu.

Ketika ditanya mengenai barisan penyerang yang bakal menjadi taruhannya untuk merobek kubu skuad Hobin Jang Hobin, bekas Pengarah Teknikal Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd musim lalu itu bakal menurunkan pemain kelahiran Croatia, Ivan Mamut untuk mengetuai jentera serangan.

"Seperti kita tahu penyerang kelahiran Thailand, Adisak Kraisorn sudah beberapa hari tidak menjalani latihan selepas menentang PDRM FC tempoh hari kerana masih dibelenggu kecederaan, begitu juga dengan Azam Azmi Murad yang juga belum cergas sepenuhnya.

"Jadi saya bakal mempertaruhkan Mamut dan Sony Norde di jentera serangan yang bakal dibantu oleh pemain tempatan, namun saya tidak begitu bimbang kerana dua pemain baharu, Nurillo Tukhtasinov dan Nor Hakim Hassan mampu juga bertindak sebagai penjaring gol sebagaimana yang dilakukan sebelum ini.

"Malah Tukhtasinov yang bakal beraksi buat kali kedua bersama pasukan juga kian serasi bersama rakan sepasukannya, jadi beraksi di depan penyokong sendiri kami harap dapat mata penuh selepas hanya kutip lima mata daripada tiga perlawanan terakhir sebelum ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Julai 2023 @ 2:43 PM