AKSI pemain negara (jersi kuning ketika menang 2-1 ke atas Laos pada aksi terakhir Kumpulan A Piala Asia B-17 di Bangkok, malam tadi. FOTO FB FAM
AKSI pemain negara (jersi kuning ketika menang 2-1 ke atas Laos pada aksi terakhir Kumpulan A Piala Asia B-17 di Bangkok, malam tadi. FOTO FB FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pengendali skuad bawah 17 tahun (B-17) negara, Osmera Omaro mengakui kemenangan 2-1 ke atas Laos dalam aksi terakhir Kumpulan A Piala Asia B-17 di Bangkok, disebabkan pemainnya beraksi tanpa tekanan.

Katanya, pemain beraksi lebih baik berbanding ketika tumbang dua kali kepada Yaman dan Thailand sebelum ini.

"Bagi saya, Laos pasukan yang bagus, tapi mereka kurang bernasib baik untuk menang.

"Saya tidak beri apa-apa arahan yang khusus, kami bermain lebih baik tanpa tekanan berbanding dua aksi awal," katanya pada sidang media selepas aksi di Stadium Thammasat itu.

Sebelum ini, skuad Harimau Muda negara tewas 0-4 kepada Yaman dan tumbang 0-3 di tangan Thailand.

Kegagalan pada dua aksi terawal itu menyaksikan pasukan negara gagal melepasi peringkat kumpulan, sekali gus gagal menepati sasaran mara ke separuh akhir dan layak ke Piala Dunia B-17.

Ditanya secara keseluruhan tentang prestasi pasukan, Omaro mengakui agak kecewa kerana tidak dapat membawa pasukan mara lebih jauh.

"Jawapan yang cukup panjang untuk dijawab. Perkembangan tentang pemain adalah perkara utama, sudah tentu kami tidak gembira dengan keputusan di kejohanan ini dan persembahan pasukan," katanya.

Kemenangan ke atas Laos itu membolehkan pasukan negara meraih tiga mata pertama, sekali gus menamatkan saingan di tangga ketiga Kumpulan A.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Jun 2023 @ 2:18 PM