Ustaz Don Daniyal
Ustaz Don Daniyal
Norhayati Nordin

 

Kuala Lumpur : Pendakwah terkenal, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid, 40, buat masa ini tidak akan muncul dalam segmen Don Give Up di stesen radio Suria FM yang bersiaran setiap Jumaat menerusi slot Morning-Morning Suria dari jam 8 hingga 9 pagi.

Perkara itu dimaklumkan menerusi kenyataan ringkas daripada sumber dalaman stesen radio terbabit yang memberitahu, pihak stesen hanya mematuhi arahan daripada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

"Buat masa ini, Ustaz Don Daniyal iaitu penyampai jemputan bagi segmen Don Give Up, tidak bersiaran seperti biasa sehingga keputusan rasmi daripada pihak Jais. 

"Kami akan sentiasa menghormati dan mematuhi setiap arahan pihak berkuasa dan akan memaklumkan perkembangan mengenai perkara ini," katanya kepada Harian Metro menerusi mesej ringkas yang dikirim di WhatsApp.

Difahamkan juga, Don Daniyal tidak akan muncul bersiaran dalam segmen berkenaan mulai esok sehinggalah keputusan rasmi daripada pihak Jais.

Menerusi kenyataan itu, turut dijelaskan bahawa pihak pengurusan stesen radio terbabit sudah pun berbincang dan memaklumkannya kepada pihak Don Daniyal.

Don Daniyal mengendalikan segmen Don Give Up bermula 1 Januari 2023 yang memerlukan dia menjawab persoalan mengenai kemusykilan agama daripada pendengar radio yang bersiaran setiap Jumaat.

Terdahulu, media melaporkan Jais sudah mengeluarkan arahan pada 21 Jun lalu kepada semua agensi, masjid, surau dan musolla bagi menangguhkan serta tidak mengundang Don Daniyal.

Pengarah Jais, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, ketetapan dibuat berikutan beberapa isu mengenai pengajaran atau ceramah agama yang disampaikan Don Daniyal disyaki membawa kepada perlanggaran beberapa ketetapan di dalam Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008.

Sebelum ini, Don Daniyal pernah 'direhatkan' daripada bersiaran di RTM untuk program Salam Baitullah 2024 terbitan stesen televisyen itu pada 5 Jun lalu, susulan isu pertikaian di media sosial berkaitan kisah hidup Nabi Muhammad SAW.

Keputusan itu imaklumkan sendiri oleh Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran RTM, Datuk Suhaimi Sulaiman menerusi perkongsian dibuatnya dalam hantaran ciapan di laman sosial X.

Langkah tu dibuat RTM selepas Don Daniyal dikritik beberapa pihak berikutan dakwaannya berkaitan kisah hidup Nabi Muhammad SAW semasa bersiaran di radio.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2024 @ 4:59 PM