ANTARA aksi skuad negara bertemu Yaman di Stadium Thammasat, Bangkok, hari ini. FOTO FAM
ANTARA aksi skuad negara bertemu Yaman di Stadium Thammasat, Bangkok, hari ini. FOTO FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Gugup hingga menyebabkan deretan kesilapan mudah menyaksikan skuad bawah 17 (B-17) tahun negara terpaksa mengigit jari apabila tumbang 0-4 di tangan Yaman dalam aksi pertama Kumpulan A Piala Asia B-17 di Stadium Thammasat, di Bangkok, Thailand hari ini.

Ekoran kegugupan melampau itu, kualiti permainan yang diharapkan juga tidak mencapai standard Piala Dunia seperti mana sasaran wajib diletakkan ke atas skuad Harimau Muda ini, untuk layak ke saingan terbesar dunia itu hujung tahun ini.

Justeru, kekalahan itu meletakkan anak buah Osmera Omaro dalam situasi sukar untuk melepasi peringkat kumpulan dengan pasukan selepas ini wajib untuk mencatat kemenangan pada dua baki aksi menentang Laos dan Thailand.

Enam mata maksimum itu harus dikutip apabila berdepan dua seteru rantau Asean itu bagi menghidupkan kembali harapan, di mana untuk layak ke Piala Dunia, pasukan negara harus mara hingga ke separuh akhir kejohanan kali ini.

Dalam aksi itu, Yaman yang juga bekas naib juara Piala Asia B-17 pada 2002 lalu tidak menunggu lama apabila berjaya mendahului menerusi Abdulrahman Al-Khader pada minit ke-21 apabila mudah melepasi pertahanan negara.

Kealpaan benteng pertahanan terus dihukum sepuluh minit kemudian apabila satu serangan balas berjaya memerangkap pemain negara yang disudahkan ketua pasukan, Adel Abbas.

Malaysia terus ketinggalan sebaik babak kedua bermula apabila pengadil menghadiahkan sepakan penalti selepas bola didakwa terkena tangan tonggak pertahanan Faris Danish.

Anwar Al Turaiqi yang mengambil sepakan itu mudah menewaskan penjaga gol negara, Farish Farhan di minit 47.

Malaysia terus dihukum pada minit 88 dengan keempat selepas usaha Adib Ibrahim untuk menghalang hantaran Ahmed AlHaj tidak berjaya apabila sebaliknya tampanan Adib masuk ke gawang sendiri.

Selepas ini, skuad negara akan menentang Laos di venue sama pada Ahad ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Jun 2023 @ 8:19 PM