AKSI antara skuad B-17 ketika menentang Yaman semalam. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
AKSI antara skuad B-17 ketika menentang Yaman semalam. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kekalahan 0-4 di tangan Yaman dalam aksi pembukaan saingan Piala Asia bawah 17 (B-17) di Bangkok, Thailand semalam akan ditebus kembali dalam baki dua aksi Kumpulan A selepas ini.

Menurut pengendali negara, Osmera Omaro, anak buahnya akan kembali bangkit memburu kemenangan bagi mengintai peluang ke suku akhir.

Katanya, kalah dan menang adalah adat dalam bola sepak dan beliau mengakui Yaman dilihat tampil lebih bertenaga dalam aksi itu.

"Yaman adalah pasukan yang baik, tahniah diucapkan kepada mereka.

"Bola sepak memang begini, kadang-kadang kita menang, kadang-kadang kita kalah. Kita akan bangkit dalam menang perlawanan yang seterusnya," katanya pada sidang media selepas aksi itu.

Menerusi kekalahan itu, skuad Harimau Muda kini menghuni tangga terbawah Kumpulan A selepas dalam satu lagi pertemuan menyaksikan tuan rumah, Thailand menang 2-1 ke atas Laos.

Selepas ini, pasukan negara dijadual menentang Laos di Stadium Thammasat, di Bangkok, pada Ahad ini.

Enam mata maksimum harus dikutip apabila berdepan dua seteru rantau Asia Tenggara itu termasuk Thailand bagi menghidupkan kembali harapan, di mana Malaysia meletakkan sasaran layak ke Piala Dunia B-17 hujung tahun ini.

Untuk layak ke saingan terbesar dunia itu, skuad kendalian Osmera harus mara hingga ke separuh akhir kejohanan kali ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Jun 2023 @ 1:17 PM