NORLELA (tiga kiri) bersama pegawainya menunjukkan barang rampasan pada sidang media di Kompleks Kastam Wilayah Persekutuan, hari ini. FOTO Hazreen Mohamad
NORLELA (tiga kiri) bersama pegawainya menunjukkan barang rampasan pada sidang media di Kompleks Kastam Wilayah Persekutuan, hari ini. FOTO Hazreen Mohamad
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Petaling Jaya: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas 1.56 juta batang rokok pelbagai jenis tidak bercukai yang menggunakan setem cukai palsu di sebuah gudang di Batu 11, Cheras di sini, 19 Jun lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail berkata, rampasan rokok putih dan kretek yang dianggarkan bernilai RM288,000 membabitkan nilai cukai dan duti berjumlah RM1.06 juta itu dipercayai diseludup masuk ke negara ini dari negara jiran.

"Berdasarkan maklumat risikan, Pasukan Taktikal Bersenjata (COBRA) menyerbu gudang berkenaan dan menemui pelbagai jenis rokok putih dan kretek yang diimport dan disyaki tidak berkastam.

"Modus operandi yang dijalankan sindiket adalah menggunakan setem cukai palsu pada beberapa jenama rokok yang dirampas bagi mengaburi mata pihak berkuasa," katanya pada sidang media di Kompleks Kastam Kelana Jaya, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihak kastam kini dalam siasatan mengesan pemilik gudang atau ejen pengimport, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.

Dalam rampasan berasingan, Norlela berkat, pihaknya merampas 8,600 liter minuman keras bernilai RM113,000 yang tidak mempunyai lesen import dan setem cukai yang diluluskan.

Katanya, sindiket didapati mengikrarkan barangan berkenaan dengan pengikraran tidak benar iaitu sayur-sayuran di borang manifest.

"Susulan itu, seorang wakil perkapalan dipanggil bagi membantu siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1) (d) Akta Kastam 1967," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2024 @ 4:35 PM