ANTARA aksi skuad B-17 menentang Laos. FOTO FAM
ANTARA aksi skuad B-17 menentang Laos. FOTO FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Skuad bawah 17 (B-17) tahun negara menutup kempen Piala Asia B-17 dengan nota kemenangan selepas menewaskan Laos 2-1 dalam aksi terakhir Kumpulan A itu.

Kemenangan itu bukan saja menghadiahkan tiga mata pertama buat pasukan kendalian Osmera Omaro, malah ia menyelamatkan maruah Malaysia di saingan itu.

Sebelum aksi itu, skuad negara tewas dalam kedua-dua aksi kumpulan termasuk dibelasah 0-4 oleh Yaman dan tumbang 0-3 dengan Thailand.

Kegagalan pada dua aksi terawal itu menyaksikan pasukan negara gagal melepasi peringkat kumpulan.

Dalam aksi dengan Laos di Stadium Thammasat, Bangkok itu, kem negara dikejutkan dengan gol awal lawan pada minit ke-12 menerusi sentuhan ketua pasukan, Sayfon Keohanam.

Malaysia kembali bangkit dan Dainei Mat Disa berjaya menyamakan kedudukan pada minit 43 untuk menamatkan saingan babak pertama dengan 1-1.

Aksi lebih kemas di tampilkan skuad Harimau Muda itu dan Dainei sekali meledak dengan gol kedua hasil tandukan terbangnya di minit 77.

Kelebihan tipis itu kekal hingga wisel penamat sekaligus anak buah Osmera menamatkan saingan di tempat ketiga kumpulan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Jun 2023 @ 10:12 PM