SKUAD B-17 negara diundi bersama Thailand, Laos dan Yaman. FOTO FAM
SKUAD B-17 negara diundi bersama Thailand, Laos dan Yaman. FOTO FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kehadiran dua pasukan rantau Asia Tenggara atau Asean dalam Kumpulan A bersama skuad bawah 17 (B-17) tahun negara di Piala Asia pada Jun ini dianggap peluang terbaik untuk melepasi saingan peringkat kumpulan itu.

Pengendali negara, Osmera Omaro berkata, beliau amat selesa diundi dengan pasukan tuan rumah iaitu Thailand dan Laos, selain Yaman yang melengkapkan kumpulan itu.

Jelasnya, anak buahnya perlu memanfaatkan peluang itu di mana pasukan berkenaan diletakkan harapan tinggi untuk mara hingga ke separuh akhir bagi menempatkan diri dalam kelompok empat terbaik untuk layak ke Piala Dunia hujung tahun ini.

"Apa yang saya nampak juga, ada dua pasukan Asean di sini (Kumpulan A). Kita selesa main dengan pasukan Asia Tenggara.

"Ia nampak kita ada peluang yang baik dan kita ambil kesempatan undian ini, dan cuba mara sejauh mana kita boleh," katanya yang berjaya membimbing Harimau Muda itu layak ke pusingan akhir Piala Asia selepas menjuarai peringkat kumpulan kelayakan sebelum ini.

Berdasarkan undian itu, Malaysia dijadual turun berdepan Yaman di Stadium Thammasat, Thailand pada 15 Jun, diikuti menentang tuan rumah di Stadium BG Pathum Thani tiga hari kemudian sebelum menutup saingan peringkat kumpulan dengan bertemu Laos di Stadium Thammasat, 21 Jun.

Dua pasukan terbaik daripada setiap empat kumpulan akan mara ke suku akhir, dengan skuad negara wajib melepasi saingan itu sebelum mencongak strategi untuk mencuri tiket ke separuh akhir pula.

Mengulas lanjut, Osmera akui ketiga-tiga pencabar itu mempunyai kekuatan dan kelebihan tersendiri dan beliau mahu anak buahnya sentiasa fokus dalam kempen itu.

"Kalau kita lihat kumpulan kita ada tuan rumah, Thailand…tentu dia akan dapat lebih bersemangat. Saya juga tahu pasal Yaman ini, mereka sangat 'impressive' semasa kelayakan.

"Laos memang pasukan yang akan buat hidup orang susah. Mereka punyai organisasi dan disiplin. Saya nampak ini satu kumpulan yang sengit juga, seperti kalau kita dapat apa-apa kumpulan pun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 April 2023 @ 1:34 PM