AZEEM dapat tiket wild card ke Paris.
AZEEM dapat tiket wild card ke Paris.
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Keputusan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) memilih pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi selaku wakil 'wild card' ke Sukan Olimpik Paris bermula hujung bulan ini adalah satu keputusan tepat dan sepatutunya dilakukan lebih awal.

Pemerhati sukan tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, keputusan memutuskan siapa patut layak ke temasya empat tahun sekali itu tidak perlu dijadikan terlalu sukar dan semua pihak harus melihat kepada acara apa ditawarkan kepada negara itu.

"Keputusan KOM dengan memberikan hak 'wildcard' kepada Azeem Fahmi untuk beraksi pada Sukan Olimpik Paris ini sepatutnya tidak dirumitkan atau disensasikan sangat.

"Sepatutnya ikut sahaja garis panduan baharu IAAF ( Persekutuan Olahraga Antarabangsa), badan olahraga dunia bahawa tiket 'wild card' itu untuk acara 100m, 800m dan marathon sahaja.

"Awal-awal lagi sepatutnya Kesatuan Olahraga Malaysia sudah umumkan secara terbuka jika tiada atlet olahraga yang layak secara merit ke Sukan Olimpik, maka tiket 'wild card' akan digunakan Malaysia dan dalam kes ini keutamaan sudah pastilah kepada Azeem," katanya.

Jelasnya, sekiranya satu keputusan akhir dibuat mengikut seperti dinyatakan sebelum ini sudah pasti semua pihak akan memahami sekali gus tidak akan timbul perbalahan dalam kalangan peminat sukan itu.

"Jadi ianya 'mudah dan senang difahami. Peminat pun faham dan tidak perlu turut menjadi hakim atau panel penilai. Niatnya itu memang baik untuk menaikkan semangat Azeem dan Shereen agar terus bersaing dan berusaha-usaha bersungguh-sungguh.

"Penyelesaiannya mudah tetapi KOM sendiri yang menjadikan keputusan itu seperti rumit dan terlalu sukar," katanya kepada Arena Metro.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2024 @ 4:39 PM