AHMAD Zahid (tengah) bersama Asyraf Wajidi (kiri) dan Azhar ketika sidang media. FOTO Aswadi Alias
AHMAD Zahid (tengah) bersama Asyraf Wajidi (kiri) dan Azhar ketika sidang media. FOTO Aswadi Alias
Tuty Haryanti Ahmad Rodzi


Kuala Lumpur: "Saya ingat dia gila talak," kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Presiden Umno itu memberi reaksi itu selepas diminta mengulas kenyataan Pengerusi Muafakat Nasional (MN) Tan Sri Annuar Musa yang dikatakan membidas kenyataan dibuatnya malam tadi berhubung dua projek di Sungai Bakap, Pulau Pinang.

"Ini bukan satu saranan, bukannya janji tetapi kalau diteliti ucapan saya malam tadi, mencadangkan supaya sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) yang dibatalkan (penubuhannya), dihidupkan semula kerana peruntukan sudah ada ketika itu, tetapi disalurkan ke tempat lain.

"Adalah munasabah untuk penduduk Nibong Tebal khususnya Sungai Bakap yang terdiri daripada anak-anak India untuk pendidikan di SJKT itu.

"Keduanya (berkenaan) Pusat Aktiviti Warga Emas (Pawe), semua daerah sudah ada tapi daerah Seberang Perai Selatan (SPS) khususnya Sungai Bakap perlu diwujudkan.

"Saya diberitahu peruntukan sudah ada dan saya mencadangkan supaya peruntukan ini digunakan selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Hari Anugerah Pendidik Mara di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Mara Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Pengarah Mara Datuk Seri Azhar Abdul Manaf.

Malam tadi, Ahmad Zahid dilaporkan berkata, pihaknya akan membantu calon Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin Johari jika menjadi wakil rakyat di Sungai Bakap termasuk dalam membina Pawe dan SJKT.

Susulan itu, Annuar mendakwa kenyataan Ahmad Zahid itu adalah bersifat ugutan kepada pengundi dan dilihat menghina pengundi kawasan itu seolah-oleh tidak akan diberi projek tertentu jika PH kalah pada PRK itu.

Sementara itu ditanya berkenaan calon bagi kerusi Dun Neggiri, Ahmad Zahid berkata, pihaknya mengadakan rundingan dengan Ketua Umno Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

"Prosedur di Gua Musang walaupun senarai pendek sampai pada saya, tetapi tradisi Umno Gua Musang adalah membawa nama itu ke mesyuarat dalaman dan akan diadakan pengundian dalaman di kalangan jawatankuasa bahagian untuk memilih calon yang mempunyai elemen 'WALI' iaitu boleh menang (winnable), diterima (acceptable) dan disukai (likeable).

"Calon itu juga adalah anak tempatan," katanya yang turut memaklumkan perkara itu akan dirundingkan sebelum penamaan calon dijalankan.

Pada 19 Jun lalu, kerusi Dun Nenggiri dikosongkan selepas Dun Kelantan menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan daripada seorang Adun Bersatu mengenai keahlian Mohd Azizi Abu Naim yang digugurkan daripada parti itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2024 @ 4:22 PM