PEMAIN skuad B-17 negara berlatih sebelum menentang Laos pada aksi terakhir Kumpulan A Piala Asia B-17 di Bangkok, esok. FOTO FB FAM
PEMAIN skuad B-17 negara berlatih sebelum menentang Laos pada aksi terakhir Kumpulan A Piala Asia B-17 di Bangkok, esok. FOTO FB FAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pengendali skuad bawah 17 tahun (B-17) negara, Osmera Omaro tidak menganggap perlawanan menentang Laos, esok, sebagai pelengkap jadual semata-mata walaupun mereka gagal layak ke suku akhir Piala Asia B-17 di Bangkok.

Malah, Osmera mahu anak buahnya mempamerkan kebangkitan untuk menang, sekali gus tidak pulang ke tanah air dengan tangan kosong.

Beliau berkata, pertemuan terakhir Kumpulan A itu menjadi medan kepada pemain muda untuk memperoleh pengalaman selain perbaiki kelemahan bagi mengharungi kejohanan akan datang.

"Pertemuan seterusnya adalah medan terbaik untuk memperbaiki kelemahan selain turut memperoleh pengalaman buat pemain baharu.

"Ada ruang yang perlu diperbaiki dan berharap pemain sentiasa bekerja keras untuk memastikan kemenangan berpihak kepada pasukan negara," katanya.

Sebelum itu, impian skuad B-17 negara untuk melangkah ke pusingan seterusnya dalam saingan Piala Asia B-17 tertutup selepas tumbang 0-3 kepada tuan rumah, Thailand.

Kekalahan itu adalah yang kedua berturut-turut selepas tewas 0-4 kepada Yaman dalam aksi pertama, sekali gus gagal melepasi peringkat kumpulan pada kempen kali ini.

Sudah pasti ia satu tamparan hebat buat skuad itu yang diletakkan sasaran untuk mara ke separuh akhir kejohanan bagi meraih tiket ke Piala Dunia B-17, hujung tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Jun 2023 @ 5:57 PM