MUHAMAD Hafizuddin melayani pelanggan di gerai duriannya. FOTO Zaid Salim
MUHAMAD Hafizuddin melayani pelanggan di gerai duriannya. FOTO Zaid Salim
Zaid Salim


Kuala Terengganu: Usahawan kereta terpakai meraih pendapatan lumayan apabila mampu menjual antara tiga hingga empat tan durian sehari.

Perniagaan durian secara borong dan runcit itu diusahakan secara bersama dengan rakan serta lima pekerja sejak 2015 lalu.

Muhamad Hafizuddin Abdullah, 27, dari Kampung Rawai, Bukit Payung, Marang berkata, dia bersama rakan perniagaannya mengeluarkan modal kira-kira RM20,000 setiap hari untuk mendapatkan bekalan durian yang diambil dari Johor dan Kedah.

"Saya dan rakan setiap hari berulang-alik ke Johor dan Kedah mengambil bekalan durian. Kami mahu memastikan durian yang dijual sentiasa segar bagi memuaskan hati pelanggan.

"Untuk pastikan durian dijual elok, setiap hari kami akan pastikan durian yang dijual habis dan akan mengambil durian baharu untuk dijual setiap hari," katanya ketika ditemui, di sini.

Mengenai pembabitannya dalam dunia perniagaan, Hafiz berkata, pada awalnya dia menjalankan perniagaan perkhidmatan lori bersama bapa sebelum mengusahakannya sendiri.

"Kini saya sudah memiliki enam lori tiga tan. Kemudian saya menceburi pula perniagaan kereta terpakai sebelum terbabit dengan perniagaan buah-buahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2024 @ 4:49 PM