HAMIDIN (tiga, kiri) bersama Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani (dua, kiri) dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (tiga, kanan) pada Majlis Hari Raya Aidilfitri 2023 FAM-MFL-AFL di Wisma FAM hari ini. FOTO Bernama
HAMIDIN (tiga, kiri) bersama Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani (dua, kiri) dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (tiga, kanan) pada Majlis Hari Raya Aidilfitri 2023 FAM-MFL-AFL di Wisma FAM hari ini. FOTO Bernama
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Bawa pulang mata jangan balik tangan kosong, itulah harapan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kepada skuad kendalian Kim Pan-gon menjelang saingan Piala Asia tahun depan yang menyaksikan Harimau Malaya diundi bersama Bahrain, Jordan dan Korea Selatan.

Menurut presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin, itu adalah sasaran ataupun Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) yang diletakkan kepada skuad Harimau Malaya.

"Harapan saya dan FAM adalah sekurang-kurangnya membawa mata pulang ke Malaysia, tak kosong. Kalau layak ke pusingan 16 akhir pun satu pencapaian yang bagus," katanya ketika ditemui di Majlis Jamuan Raya Aidilfitri FAM-Liga Bolasepak Malaysia (MFL)-Liga Bolasepak Amatur Malaysia (AFL) hari ini.

Ujarnya, keputusan yang positif sangat penting buat Harimau Malaya kerana ia juga membabitkan mata ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa).

"Pengiraan kita di Piala Asia ini, kita akan mendapat mata ranking jika dapat mencatat keputusan seri dengan pasukan lebih tinggi daripada kita.

"Sudah tentu harapan saya dan FAM kita nak sekurang-kurang bawa balik mata kerana lama kita tidak masuk Piala Asia dan kita perlu berhati-hati kerana pasukan di sana adalah yang terbaik dalam Asia," katanya yang juga Chef-de-Mission (CDM), Sukan Olimpik Paris 2024.

Bagi edisi kali ini, Malaysia yang layak secara merit diundi dalam Kumpulan E bersama dua pasukan Timur Tengah, Jordan dan Bahrain selain turut dihuni juara dua kali, Korea Selatan.

Dalam pada itu, Hamidin menggesa pemain-pemain negara supaya berwaspada dengan cabaran di Piala Asia itu nanti memandangkan banyak pasukan yang bukan sahaja memiliki standard Asia, malah ada reputasi beraksi di Piala Dunia.

"Kita perlu berhati-hati kerana pasukan di sana nanti adalah terbaik dalam Asia. Kalau kita lihat, Korea Selatan bukan sahaja terbaik di Asia tetapi mereka memiliki standard pasukan Piala Dunia.

"Untuk pengetahuan semua, FAM dan jurulatih (Kim Pan-gon) tengah berusaha untuk adalah perlawanan pada awal Januari dan berbincang dengan Australia tetapi mereka mahu bermain di Doha.

"Pan-gon pula mahukan satu perlawanan di Malaysia sebelum pergi ke Doha untuk satu perlawanan lagi. Setakat ini, kita ada tiga pilihan, sama ada Arab Saudi, Oman atau UAE (Emiriyah Arab Bersatu)," ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mei 2023 @ 4:18 PM