HAMIDIN (kanan) tahu pasukan Malaysia boleh kalahkan Vietnam dan juga dengan Bahrain. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
HAMIDIN (kanan) tahu pasukan Malaysia boleh kalahkan Vietnam dan juga dengan Bahrain. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin mengakui impiannya adalah untuk melihat skuad Harimau Malaya menundukkan Vietnam selepas ini.

Katanya, beliau yakin skuad kendalian Kim Pan-gon mampu melakukannya dan berdasarkan persembahan terkini, ia dilihat tidak mustahil.

"Saya masih lagi kalau boleh nak kalahkan Vietnam, itu salah satu saya punya impian.

"Saya pun tak tahu macam mana kita boleh kalah (di tangan Vietnam), dan saya tahu pasukan Malaysia boleh kalahkan mereka, dan juga dengan Bahrain.

"Tapi kadang-kadang tak ada rezeki masa itu, atau kita belum cukup bagus. Jadi kita akan ada beberapa kaedah untuk kita lalui dan Piala AFF (hujung tahun) ini, kita akan ada lagi misi sebelum bulan sembilan untuk kita buat aksi persahabatan," katanya.

Melihatkan rekod pertemuan Malaysia dan Vietnam sejak 2018 lalu, skuad negara hanya mampu seri sekali daripada enam aksi dengan pertembungan terakhir adalah dalam Piala AFF di Singapura hujung tahun lalu yang menyaksikan Malaysia tewas 0-3.

Apa diperkatakan Hamidin itu bukan sesuatu yang mustahil dan kemampuan skuad Harimau Malaya menundukkan beberapa pasukan sepanjang kempen Kelayakan Piala Asia 2023 dan beberapa aksi persahabatan sejak Mac lalu menunjukkan peningkatan.

Sejak Pan-gon mengambil alih pasukan negara bermula Mac lalu, Malaysia berjaya melakar lima kemenangan dalam tujuh aksi, dengan hanya tewas dua kali.

Malah, peningkatan mata ranking daripada kedudukan 154 kepada 147 menunjukkan bahawa skuad Harimau Malaya kini dalam landasan terbaik untuk terus meningkat.

Dalam kempen Kelayakan Piala Asia dua minggu lalu, skuad negara berjaya menamatkan badi 43 tahun untuk layak secara merit yang dijadual berlangsung tahun depan sama ada di Korea Selatan, Qatar, Jepun mahupun Australia yang berminat mendapatkan hak tuan rumah Piala Asia.

Ini adalah penampilan keempat Malaysia di Piala Asia selepas beraksi pada 1976 dan 1980, dengan 2007 pula layak selaku tuan rumah bersama dengan Indonesia, Vietnam dan Thailand.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Jun 2022 @ 3:36 PM