HAMIDIM pada majlis rumah terbuka Aidilfitri yang turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh. FOTO Ihsan FAM
HAMIDIM pada majlis rumah terbuka Aidilfitri yang turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh. FOTO Ihsan FAM
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dilihat cukup berhati-hati menjelang saingan Piala Asia di Qatar Januari depan, apabila hanya menyasarkan untuk mengutip seberapa banyak pungutan mata bagi di bawa pulang ke tanah air.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, sasaran itu lebih sesuai buat skuad Harimau Malaya apabila dijangka bakal berdepan pasukan yang sudah beberapa kali layak ke Piala Dunia seperti Jepun, Korea Selatan, Australia, Iran mahupun Qatar.

Jelas Hamidin, perkara itu tidak dapat dielakkan kerana pasukan Malaysia bakal berada di balang keempat, berbanding pasukan gergasi Asia itu di balang pertama dan kedua.

"Saya kira bila kita dah sampai peringkat ini (Piala Asia), kita terpaksa berhadapan dengan pasukan ini.

"Kalau kita lihat dalam balang 1, semua ini pasukan layak Piala Dunia daripada Qatar, Arab Saudi, Korea, Iran dan Jepun dan harapan saya, sekurang-kurangnya kita dapat bawa balik mata ke Malaysia pun cukup bagus," katanya.

Sebelum ini, skuad Harimau Malaya mencipta sensasi apabila berjaya menamatkan badi selama 43 tahun layak secara merit ke pusingan akhir Piala Asia selepas kali terakhir beraksi di pentas tertinggi itu pada temasya 1980 di Kuwait.

Majlis undian Piala Asia dijangka bakal berlangsung di Doha, Qatar pada 11 Mei ini, dengan skuad kendalian Kim Pan-gon yang kini menghuni tangga ke-138 dunia dalam ranking Fifa bakal berada di balang keempat bersama Hong Kong, Indonesia, India, Tajikistan dan Thailand.

Manakala, pasukan yang berada pada ranking lebih tinggi akan mengisi balang pertama babitkan Qatar, Jepun, Iran, Korea Selatan, Australia dan Arab Saudi.

Balang kedua pula menyaksikan Iraq, UAE, Oman, Uzbekistan, China dan Jordan manakala enam lagi pasukan iaitu Bahrain, Syria, Palestin, Vietnam, Kyrgyzstan dan Lubnan mengisi balang tiga.

"Tapi sudah tentu kita ada impian lebih tinggi lagi kali ini. Biar kita lihat dulu undian. Kita tak nak jumpa Jepun, tapi Korea dan Australia pun kuat, Qatar pun kuat.

"Jadi mungkin Kim Pan-gon lebih bersedia bila undian dibuat pada 11 Mei di Doha, Qatar nanti," kata Hamidin.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 April 2023 @ 2:43 PM