MARTIAL sering dibelenggu masalah kecederaan yang menjejaskan peluang beraksi dalam kesebelasan utama. FOTO REUTERS
MARTIAL sering dibelenggu masalah kecederaan yang menjejaskan peluang beraksi dalam kesebelasan utama. FOTO REUTERS
Reuters

London: Pengurus Manchester United, Erik ten Hag berkata, isu kecederaan dialami penyerang, Anthony Martial menyebabkan sukar untuk bergantung kepadanya, tetapi menyokong pemain Perancis itu untuk menjadi sebahagian pelannya pada musim depan.

Martial berada di dalam kesebelasan utama buat kali pertama sejak pertengahan Januari lalu, ketika seri 2-2 dengan Sevilla pada perlawanan pertama suku akhir Liga Europa, Khamis lalu, sebelum dikeluarkan selepas sejam perlawanan.

Masalah kecergasan menjejaskan pemain berusia 27 tahun itu yang hanya membuat 18 penampilan pada musim ini, tetapi hanya 10 kali dalam kesebelasan utama.

Ditanya sama ada dia boleh mengharapkan Martial untuk berada dalam skuad bagi pelan jangka panjang, Ten Hag berkata: "Sukar untuk dikatakan kerana sejarah menunjukkan sebaliknya, tapi saya mahu dia bersama kerana dia adalah pemain hebat.

"Sudah tentu, dia memiliki kualiti untuk bermain bola sepak di tahap tertinggi. Apabila dia cergas, pasukan kami dapat bermain dengan lebih baik."

Pengendali dari Belanda itu menyifatkan Martial sebagai pemain serba boleh, tetapi beraksi pada tahap terbaik apabila mengetuai jentera serangan.

"Saya fikir dia boleh bermain di bahagian depan dan posisi terbaik adalah penyerang tengah, tetapi dia turut boleh bermain di posisi sedikit ke tepi," kata Ten Hag.

Berikutan Marcus Rashford cedera pangkal paha, Martial hampir pasti berada dalam kesebelasan utama dalam kunjungan ke Nottingham Forest pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), malam ini.

United kini menduduki tempat keempat liga dengan 56 mata, ketinggalan 17 mata di belakang pendahulu, Arsenal, yang bermain lebih satu perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 April 2023 @ 9:25 PM