ANTHONY MARTIAL
ANTHONY MARTIAL
Agensi

LONDON: Anthony Martial menafikan hubungannya dengan pengurus Manchester United, Jose Mourinho dingin selepas meledak dua gol ketika menentang Chelsea, kelmarin.

Dua gol dijaringkan penyerang Perancis itu pada babak kedua meletakkan United di landasan tepat untuk meraih kemenangan pertama di Stamford Bridge sejak 2012 sebelum Ross Barkley berjaya menyamakan kedudukan minit ke-96.

Martial yang masih belum menandatangani kontrak lanjutan di Old Trafford dikritik oleh Mourinho pada musim panas lalu selepas tidak menyertai kelab berkenaan dalam aksi pramusim di Amerika Syarikat kerana mahu menghadiri majlis sembutan ulang tahun kelahiran anak lelakinya.

Tindakan itu menyaksikan Martial dikenakan denda dua minggu tetapi selepas menjaringkan dua gol menentang Chelsea, pemain itu menegaskan hubungan dia dengan Mourinho baik.

“Tiada sebarang masalah terhadap hubungan kami sejak awal lagi (sebelum perlawanan dengan Chelsea). Kami mempunyai hubungan antara pemain-jurulatih dan saya harap ia akan kekal begitu bagi membawa United melakar kejayaan,” kata Martial.

Martial juga mencipta nama sebagai penjaring ketika menentang Newcastle United yang menyaksikan United bangkit daripada ketinggalan 0-2 untuk menang 3-2.

Anak buah Mourinho akan bertemu Juventus dalam aksi Liga Juara-Juara di Old Trafford, awal pagi Rabu ini dan Martial berkata dua keputusan positif yang dilakar sebelum ini mampu memberi suntikan motivasi buat pasukan.

Pemain berusia 22 tahun itu hampir pasti berada dalam kesebelasan utama The Red Devils selepas menjaringkan tiga gol dalam dua perlawanan.

“Kami tidak melakukan dengan baik. Namun, kami bekerja keras dan perlawanan seperti ini mampu menjadi bukti kami sebuah pasukan yang baik.

“Kami mahu mengekalkan keputusan positif ini apabila berdepan Juventus. Saya gembira dapat menjaringkan gol tetapi sebagai satu pasukan saya kecewa kerana kami sepatutnya boleh menang perlawanan dengan Chelsea,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Oktober 2018 @ 8:05 AM