MOHD Daud ketika hadir menyaksikan perlawanan antara JDT dan KDA FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Ahad lalu. FOTO ihsan TAN SRI DR MOHD DAUD BAKAR
MOHD Daud ketika hadir menyaksikan perlawanan antara JDT dan KDA FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Ahad lalu. FOTO ihsan TAN SRI DR MOHD DAUD BAKAR
Izzali Ismail


Alor Setar: Pemilik Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar yang kecewa dengan kekalahan 0-6 di tangan Johor Darul Ta'zim (JDT), Ahad lalu, menggesa pemain bangkit menguatkan mental bagi menghadapi aksi Liga Super seterusnya.

Menurut Mohd Daud, dibolosi enam gol tanpa balas itu menjadi satu lagi episod sedih buatnya apabila kekalahan besar itu tidak dijangka sama sekali ketika beliau turun menyaksikan perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri itu.

"KDA FC tumpas teruk dan ia di luar jangkaan saya dan ramai orang. Kami banyak melakukan kesalahan individu dan sudah pasti dihukum oleh sebuah pasukan yang sentiasa bersedia untuk menyerang.

"Episod sedih ini akan menjadi bahan kajian KDA FC sepanjang tahun dan pada pengamatan saya, kami tewas dan rebah kerana kesilapan individu, tiada semangat juang tinggi, perasaan kurang yakin dan mungkin ketakutan dengan tekanan di Stadium Sultan Ibrahim.

"Tidak keterlaluan kalau saya meminta semua pihak iaitu pengurusan, kejurulatihan dan pemain supaya lebih serius, bersungguh-sungguh dan berani menjadi orang yang ada intensiti tinggi," katanya.

Jelas Mohd Daud, sebagai pemain profesional yang diberikan banyak peluang latihan di dalam dan luar negara, tahap ketahanan mental perlu sentiasa berada pada tahap tertinggi dalam apa jua keadaan.

Katanya, pemain yang bagus memiliki mental kental dalam suasana tekanan dan ketika itulah baru perwatakan sebenar seorang pemain akan terbina dan terserlah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 April 2023 @ 8:42 PM