PEMAIN KDA FC menjalani latihan di Antalya, Turkiye. FOTO KDA FC
PEMAIN KDA FC menjalani latihan di Antalya, Turkiye. FOTO KDA FC
Izzali Ismail


Alor Setar: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) yang kini menjalani latihan Jelajah Pramusim 2023 di Antalya, Turkiye turut merasa sedih dan simpati berikutan tragedi gempa bumi yang berlaku negara itu, Isnin lalu.

Meskipun berada lebih 500 kilometer (km) dari lokasi kejadian, Sang Kenari mahu mengambil langkah prihatin dengan menyumbang kepada mangsa dan keluarga terbabit dalam tragedi mengorbankan ribuan nyawa itu.

Pemilik KDA FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar berkata, pihaknya mengucapkan takziah kepada semua yang terkesan dengan tragedi gempa bumi itu dan berhasrat menghulurkan sumbangan kepada mangsa.

"Sekarang ini, KDA FC berada di Antayla, Turki - iaitu kira-kira 500km dari tempat gempa bumi itu - untuk menjalani beberapa siri perlawanan persahabatan.

"KDA FC turut simpati dengan musibah ini dan akan membuat sumbangan derma serta bantuan kewangan kepada pihak berkuasa di sana dengan setiap pemain dan pegawai akan bersama-sama menyumbang bersama KDA FC.

"Marilah kita sama-sama menyumbang untuk mengurangkan sedikit bebanan keluarga mangsa gempa bumi ini, tidak banyak, sedikit dan kepada saudara kita di Turkiye, doa dan ingatan kami kini bersama anda semua," katanya.

Mohd Daud yang tokoh penasihat kewangan Islam berharap semoga bantuan sama ada tenaga atau kewangan dari pelbagai pihak dapat mengurangkan bebanan ditanggung mangsa dan ahli keluarga mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Februari 2023 @ 5:43 PM