NORDE pemain kelahiran Haiti yang sudah sebati dengan Liga M.
NORDE pemain kelahiran Haiti yang sudah sebati dengan Liga M.
Izzali Ismail


Alor Setar: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) menambah koleksi pemain importnya apabila menyenaraikan pemain sayap Sony Norde bagi menguatkan jentera tengah dan serangan pada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Berita kemasukan bekas pemain Melaka United (MU) dan Terengganu FC (TFC) dihebahkan melalui media rasmi pasukan pagi tadi sekali gus menamatkan spekulasi destinasinya pada musim baharu.

"KDA FC dengan bangga mengumumkan ketibaan Sony Norde. Pemain berasal dari Haiti dan cukup dikenali di Liga M ketika bersama Melaka United FC dan Terengganu FC ini memilki gerakan lincah dan mampu menghasilkan gol menakjubkan melalui rembatan padu ketika menewaskan lawan.

"Pemain berusia 34 tahun ini memilih berjuang di kem Sang Kenari untuk musim 2024/25 walaupun unit pemantau pasukan menyatakan minat untuk mendapatkan khidmat beliau sejak musim lepas lagi."

KDA FA turut memaklumkan Sony Norde dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Kepala Batas pada pukul 4.30 petang ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mac 2024 @ 2:35 PM