SYAFIQ (kiri) dan Rizal kembali memperkuatkan skuad KDA FC bagi kempen Liga M musim 2024/25. FOTO KDA FC
SYAFIQ (kiri) dan Rizal kembali memperkuatkan skuad KDA FC bagi kempen Liga M musim 2024/25. FOTO KDA FC
Izzali Ismail


Alor Setar: Harapan untuk melihat Syafiq Ahmad dan Rizal Ghazali kembali menyertai Kedah Darul Aman FC (KDA FC) menjadi kenyataan apabila nama mereka turut diumum pengurusan kelab itu bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Pengumuman mengenai Syafiq dibuat media rasmi Sang Kenari, hari ini yang turut menjunjung kasih perkenan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam proses berkaitan pemain yang kini berstatus pemain pinjaman bagi musim 2024.

Ini diikuti pengumuman mengenai kemasukan semula bek kanan kental, Rizal yang juga bekas pemain Sabah FC.

"KDA FC dengan bangga mengumumkan kepulangan Muhammad Syafiq Ahmad ke pangkuan Sang Kenari di musim 2024-2025.

"Dengan persetujuan bersama kedua-dua kelab, berstatus pemain pinjaman dari Johor Darul Ta'zim (JDT), pihak pengurusan KDA FC menjunjung kasih dengan perkenan TMJ memberi persetujuan untuk pemain kelab itu mewakili KDA FC musim ini.

"Tidak perlu diperkenalkan lagi, pemain itu yang cukup prolifik dengan tandukan padu di Liga M dan peringkat antarabangsa. Syafiq akan memperkuatkan jentera serangan pasukan Sang Kenari. Ayuh, kita lakukannya," katanya.

Menurut KDA FC, kemasukan Rizal dijangka akan memperkuatkan lagi benteng pasukan selepas pemain itu berkelana selama beberapa tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2024 @ 3:55 PM