FODEN (dua dari kiri) terpaksa berehat selepas menjalani pembedahan membuang apendiks. FOTO AFP
FODEN (dua dari kiri) terpaksa berehat selepas menjalani pembedahan membuang apendiks. FOTO AFP
AFP

London: Phil Foden akan terlepas perlawanan Manchester City melayan Liverpool pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) susulan pembedahan membuang apendiks, umum kelab juara bertahan itu.

Pemain berusia 22 tahun itu diketepikan ketika England menang 2-0 ke atas Ukraine pada aksi kelayakan Euro 2024 di Wembley, awal pagi tadi.

Foden menjalani pembedahan di London dan setakat ini belum disahkan berapa lama dia tidak dapat bermain.

City mengesahkan dia tidak boleh diturunkan menentang Liverpool di Etihad, Sabtu depan.

"Phil akan kembali ke Manchester untuk menjalani proses pemulihan," kata City menerusi kenyataan.

"Dia tidak cergas untuk berdepan Liverpool dan belum dipastikan berapa lama dia tidak boleh beraksi."

City kini berjuang dengan tiga misi apabila ketinggalan lapan mata di belakang pendahulu EPL, Arsenal, dengan kelebihan baki satu perlawanan.

Mereka akan menghadapi lima perlawanan liga bulan depan termasuk melayan kunjungan Arsenal pada 26 April.

City turut berdepan juara Jerman, Bayern Munich di suku akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah (UCL) pada 11 April dan berdepan kelab bahagian dua, Sheffield United di separuh akhir Piala FA pada 22 April.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mac 2023 @ 11:18 AM