GUARDIOLA tidak mahu pemain hanya tumpu aksi menentang Real. FOTO Reuters
GUARDIOLA tidak mahu pemain hanya tumpu aksi menentang Real. FOTO Reuters
Reuters

Manchester: Manchester City tidak boleh tergoda untuk melihat ke hadapan bagi perlawanan Liga Juara-Juara menentang Real Madrid minggu depan, kata pengurus Pep Guardiola, ketika pasukannya menjadi tuan rumah berdepan pasukan sedang bergelut Luton Town dalam usaha mereka mengekalkan mahkota Liga Perdana Inggeris (EPL).

"Kami perlu (tumpu kepada Luton Town), EPL adalah sangat penting," kata Guardiola.

"Sudah 11, 10 bulan kami berjuang untuk gelaran ini, kami tahu kedudukan kami di mana."

City yang berada di tangga ketiga, mempunyai 70 mata dengan baki tujuh perlawanan boleh mendaki puncak carta esok dan meningkatkan tekanan ke atas Arsenal dan Liverpool yang berkongsi kelebihan dengan 71 mata.

Guardiola tidak dapat memberikan maklumat terkini mengenai kecergasan Nathan Ake, Phil Foden dan Kyle Walker.

Foden dipaksa keluar lewat permainan ketika keputusan seri 3-3 di Real Madrid pada perlawanan pertama suku akhir Liga Juara-Juara, manakala Ake dan Walker sudah diketepikan kerana kecederaan.

Penjaga gol Brazil, Ederson sudah cergas sepenuhnya dan harus merampas semula kesebelasan utama daripada Stefan Ortega.

Pemain tengah City, Rodri merayu untuk berehat selepas seri 3-3 mereka dengan Madrid, dan mengakui skuad itu letih di tengah-tengah kempen sibuk mereka untuk tiga baki trofi musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 April 2024 @ 10:46 PM