PEMAIN City meraikan jaringan Alvarez. FOTO Reuters
PEMAIN City meraikan jaringan Alvarez. FOTO Reuters
AFP

London: Manchester City bangkit dari ketinggalan untuk menumpaskan Everton 3-1 selepas pulang daripada saingan Piala Dunia Kelab dan merapatkan jurang kepada lima mata dengan pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool.

Pasukan bimbingan Pep Guardiola yang memburu kejuaraan liga buat kali keempat berturut-turut, berdepan masalah apabila ketinggalan 0-1 di Goodison Park, hasil jaringan separuh masa pertama bekas pemain City, Jack Harrison.

Bagaimanapun, Phil Foden melepaskan rembatan melepasi Jordan Pickford pada minit ke-53 dan Julian Alvarez meletakkan pasukan pelawat di hadapan hasil sepakan penalti.

Bernardo Silva menyempurnakan persembahan cemerlang pada separuh masa kedua untuk penyandang juara, mengambil kesempatan daripada kesilapan Pickford pada minit-minit akhir.

City, yang hanya memenangi satu daripada enam perlawanan liga sebelum ini, kini kembali di tempat keempat dengan satu perlawanan di tangan mengatasi Liverpool kendalian Jurgen Klopp, yang mempunyai 42 mata.

Naib juara musim lalu, Arsenal, dua mata di belakang Liverpool, beraksi menentang West Ham pada hari Khamis.

"Saya mengingatkan mereka (kebolehan mereka) setiap hari," kata Guardiola kepada Amazon Prime.

"Kami mempunyai standard yang perlu dipatuhi. Itu menjadikan kami mempunyai lebih banyak tanggungjawab supaya standard tidak boleh turun."

Beliau menambah: "Mereka menunjukkan sekali lagi betapa istimewanya mereka. Kami tahu selepas enam perlawanan dengan hanya satu kemenangan orang ramai bertanya, itu adalah perkara biasa kerana ia adalah mengenai keputusan."

City datang ke perlawanan menentang Everton dengan cemerlang selepas memenangi Piala Dunia Kelab minggu lalu di Arab Saudi– trofi kelima mereka pada tahun 2023 yang luar biasa.

Bagaimanapun mereka bergelut dalam aksi liga dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Disember 2023 @ 8:36 AM