FODEN (kiri) menjaringkan gol penyamaan buat Manchester City sebelum rehat dan akhirnya melengkapkan hatrik kedua dalam kariernya. FOTO REUTERS
FODEN (kiri) menjaringkan gol penyamaan buat Manchester City sebelum rehat dan akhirnya melengkapkan hatrik kedua dalam kariernya. FOTO REUTERS
AFP

London: Pep Guardiola berkata, Phil Foden menikmati musim terbaiknya di Manchester City apabila hatriknya memastikan kemenangan 3-1 di Brentford, awal pagi tadi, sekali gus menyaksikan tiga pasukan teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) hanya dipisahkan dengan dua mata.

City kini di tempat kedua liga dengan 49 mata seperti Arsenal dan ketinggalan dua mata di belakang pendahulu, Liverpool, tetapi anak buah Guardiola memiliki kelebihan satu perlawanan yang membolehkan mereka berada di tangga teratas jika menang.

Juara bertahan itu muncul pasukan EPL pertama menang empat perlawanan berturut-turut di tempat lawan walaupun mereka lebih dahulu ketinggalan.

Neal Maupay meletakkan the Bees di depan pada minit ke-21, tetapi tiada keraguan mengenai kebangkitan City apabila Foden menyamakan kedudukan pada masa kecederaan babak pertama.

Kevin De Bruyne dan Erling Haaland kemudian mengumpan kepada pemain tengah England itu untuk melengkapkan hatrik kedua dalam kariernya.

"Dia adalah pemain yang mampu menghidu peluang jaringan," kata Guardiola selepas Foden menjaringkan 14 gol pada musim ini.

"Saya fikir dia bermain pada musim terbaiknya sejak kami bersama. Sumbangannya menerusi gol dan bantuan jaringan, bermain lebih ke tengah memang sukar dipercayai."

Pencabar City jelas tidak mampu mengambil kesempatan ketika De Bruyne dan Haaland tersisih akibat kecederaan, beberapa bulan lalu dan mereka dilihat mampu muncul pasukan pertama menang gelaran utama Inggeris kali keempat berturut-turut.

Penjaga gol Brentford, Mark Flekken memulakan perlawanan dengan penjaga gol paling lemah dari segi statistik menyelamatkan percubaan di EPL.

Bagaimanapun, pemain Belanda itu beraksi cemerlang menafikan City pada babak pertama apabila menyelamatkan enam percubaan sebelum rehat.

Brentford jarang mengancam sehinggalah gol Maupay pada minit ke-21, pada ketika City merekodkan hanya satu perlawanan tidak boloes sejak Oktober.

Secara keseluruhan, 10 daripada 17 percubaan City tepat ke arah gol pada babak pertama dan akhirnya, satu daripadanya menghasilkan gol menerusi Foden.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Februari 2024 @ 10:35 AM