LEANDRO Trossard pada sesi latihan. FOTO AFP
LEANDRO Trossard pada sesi latihan. FOTO AFP
Reuters

Stockholm: Barisan pemain Belgium tidak sabar untuk membuktikan kemampuan mereka kepada jurulatih baharu Domenico Tedesco, yang menggantikan Roberto Martinez selepas tersingkir di peringkat kumpulan pada Piala Dunia di Qatar tahun lalu, kata pemain sayap, Leandro Trossard.

Tedesco menggugurkan pemain veteran, Dries Mertens dan Axel Witsel untuk perlawanan pembukaan kelayakan Euro 2024 menentang Sweden, awal pagi Sabtu dan perlawanan persahabatan menentang Jerman.

"Saya fikir Tedesco adalah seorang pengurus yang suka memberi tekanan kepada lawannya dan mencipta peluang dengan memenangi bola di atas padang. Ia agak berbeza dengan Martinez.

"Pengurus baharu mahu membina skuad baharu dengan permainan lebih dinamik, yang sudah kita lihat dalam sesi latihan.

"Semua pemain sangat bersemangat untuk menunjukkan kemampuan diri masing-masing. Ia memberi manfaat kepada kami sebagai satu pasukan," kata Trossard kepada pemberita.

Trossard sudah membuktikan dirinya sebagai pemain utama bersama pendahulu Liga Perdana, Arsenal dalam beberapa minggu kebelakangan ini selepas menyertai kelab itu dari Brighton & Hove Albion, Januari lalu.

"Saya tidak menjangkakan kerap diberi peluang beraksi, tetapi faktor kecederaan di dalam pasukan membantu saya sedikit.

"Saya lebih yakin dengan kemampuan saya sendiri. Saya tiba bersama barisan pemain yang hebat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mac 2023 @ 1:57 PM