ARTETA gembira selepas Arsenal berjaya menewaskan Leicester. -FOTO AP
ARTETA gembira selepas Arsenal berjaya menewaskan Leicester. -FOTO AP
AFP

London: Arsenal kekal pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas melakar kemenangan 1-0 ke atas Leicester ketika Manchester City meneruskan usaha mereka untuk memintas The Gunners dengan membelasah Bournemouth 4-1.

Gabriel Martinelli menjadi wira buat Arsenal di stadium King Power dalam permainan yang di dominasi oleh pelawat.

"Untuk tempoh masa kami menguasai penguasaan bola, kawasan dan jumlah peluang yang ada kami pada suku ketiga sepatutnya kami mencipta lebih banyak peluang dan menjaringkan banyak gol lagi," kata bos Arsenal, Mikel Arteta.

"Apabila anda tidak melakukannya anda perlu bekerja keras dalam pertahanan dan kami hanya menjaringkan satu gol. Kami bertahan dengan baik."

Keputusan Arteta untuk menurunkan Martinelli dan Leandro Trossard dalam senarai tiga pemain serangan menggantikan Eddie Nketiah berbaloi.

Trossard melalui babak pertama yang hebat apabila dia meledak ke penjuru namun dibatalkan kerana rakaman VAR mendapati ada kekasaran dilakukan Ben White terhadap penjaga gol Leicester, Danny Ward.

Namun jaringan Martinelli tidak dinafikan seminit selepas bermula babak kedua apabila dia tenang menyempurnakan hantaran lintang Trossard.

Gol kedua Bukayo Saka tidak dikira kerana ofsaid ketika Arsenal gagal menukar dominasi mereka untuk jaringan lebih meyakinkan.

Sementara itu juara bertahan, City membelasah Bournemouth bagi mengurangkan jurang di kedudukan teratas kepada dua mata.

Julian Alvarez, Erling Haaland dan Phil Foden masing-masing menemui sasaran buat skuad kendalian Pep Guardiola sebelum tamat babak pertama.

Sepakan Alvarez kemudiannya membias ke gawang sendiri oleh Chris Mepham pada awal babak kedua.

Bagaimanapun City kini melalui enam aksi dengan dibolosi apabila Jefferson Lerma meledak gol sagu hati buat skuad Cherries, yang kini semakin jauh di zon penyingkiran.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Februari 2023 @ 8:06 AM