REAKSI jurulatih Leipzig, Domenico Tedesco ketika perlawanan dengan Shakhtar Donetsk di Leipzig. FOTO AP
REAKSI jurulatih Leipzig, Domenico Tedesco ketika perlawanan dengan Shakhtar Donetsk di Leipzig. FOTO AP
AFP

Berlin: Kelab Jerman, RB Leipzig memecat jurulatih, Domenico Tedesco, hari ini, selepas mereka dibelasah 1-4 di tempat sendiri oleh kelab Ukraine, Shakhtar Donetsk pada perlawanan pembukaan Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Pemecatan itu berlaku beberapa bulan selepas dia mengemudi mereka memenangi Piala Jerman, tetapi bermula hambar dalam liga dengan lima mata daripada lima aksi Bundesliga.

"RB Leipzig berpisah dengan Domenico Tedesco serta merta," umum kelab itu menerusi Twitter.

Malah, sebelum kekalahan besar itu, wujud khabar angin menyatakan Leipzig berminat mendapatkan bekas jurulatih Borussia Dortmund, Marco Rose.

Anak kelahiran Leipzig, Rose memenangi dua gelaran di Austria bersama kelab bersaudara, Red Bull Salzburg.

Jurulatih kelahiran Itali, Tedesco, 36, hanya dilantik pada Disember lalu apabila Leipzig memecat pengendali dari Amerika Syarikat (AS), Jesse Marsch selepas prestasi hambar menyaksikan mereka di tangga ke-11 liga dan tujuh mata di belakang kelayakan ke UCL.

Tedesco mengubah nasib mereka dengan layak ke UCL, separuh akhir Liga Europa dan merangkul trofi utama domestik apabila menewaskan Freiburg menerusi sepakan penalti di final Piala Jerman.

Bagaimanapun, kekalahan 0-4 di tangan Eintracht Frankfurt, Sabtu lalu diikuti kekalahan kepada Shakhtar menyaksikan khidmatnya sampai ke penghujung.

Leipzig yang berbelanja besar pada musim panas dengan membawa bekas penyerang Chelsea, Timo Werner, dijangka akan mencabar gelaran Bundesliga.

Ketua Pegawai Eksekutif Leipzig, Oliver Mintzlaff berkata: "Keputusan melepaskan Domenico Tedesco amat sukar bagi kami."

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 September 2022 @ 10:07 PM