CHILWELL ketika sesi latihan. FOTO Reuters
CHILWELL ketika sesi latihan. FOTO Reuters
AFP

Naples: Bek kiri England dan Chelsea, Ben Chilwell berkata kegagalan beraksi di Piala Dunia kerana kecederaan menjadikannya lebih kuat dari segi mental.

Pemain berusia 26 tahun itu mengalami kecederaan koyak hamstring sejurus sebelum kejohanan berkenaan sekali gus menyaksikan namanya digugurkan oleh pengendali England, Gareth Southgate.

Chilwell kembali ke Chelsea pada Februari dan prestasinya di peringkat kelab menyaksikannya dipanggil semula menyertai skuad England untuk kelayakan Euro 2024 menentang Itali dan Ukraine.

"Sudah tentu dari segi mental ia sangat mencabar," kata Chilwell kepada pemberita mengenai kecederaannya yang begitu hampir dengan kejohanan di Qatar.

"Semua pemain bola sepak melalui tempoh di mana mereka berdepan cabaran mental dan anda perlu mempunyai daya tahan yang kuat untuk mengharunginya.

"Itulah cara saya cuba melihat perkara seperti kecederaan yang saya alami dan terlepas beraksi di Piala Dunia.

"Saya cuba mengubahnya menjadi situasi yang positif, jadi saya boleh memperbaiki diri saya dari segi mental dan fizikal. Apabila kembali beraksi, saya bersedia untuk membantu Chelsea dan England."

Penantian England untuk menjulang trofi utama itu sejak 1966 berterusan selepas anak buah Southgate tunduk kepada Perancis pada peringkat suku akhir di Qatar.

Kepulangan Chilwell dan rakan sepasukannya di Chelsea, Reece James meningkatkan pilihan jurulatih England itu untuk permulaan ujian kempen kelayakan mereka di tempat lawan bertemu penyandang juara, Itali, awal pagi Jumaat ini.

Chilwell akan berdepan cabaran Luke Shaw dari Manchester United untuk posisi bek kiri, manakala James mempunyai saingan sengit daripada Kyle Walker dari Manchester City dan Kieran Trippier dari Newcastle di sebelah kanan.

"Salah satu kunci kepada skuad yang kuat dan skuad yang berjaya ialah apabila anda mempunyai dua atau tiga pilihan dalam setiap posisi," kata Chilwell.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mac 2023 @ 7:24 AM