BEN CHILWELL
BEN CHILWELL
AFP

LONDON: Pemain Leicester City, Ben Chilwell dipanggil menyertai skuad kebangsaan England bagi menggantikan bek kiri Manchester United yang cedera, Luke Shaw, umum Persatuan Bolasepak (FA) England, hari ini.

Chilwell, yang disenaraikan ketika England menang 1-0 dalam aksi persahabatan menentang Switzerland di Stadium King Power bulan lalu, sudah pun disenaraikan ke dalam skuad bawah 21 England sebelum ini.

Namun, pemain berusia 21 tahun ini akan menggantikan posisi Shaw, yang bernasib malang apabila mengalami kecederaan berulang, sekaligus tersingkir daripada saingan Liga Negara-Negara Eropah menentang Croatia dan Sepanyol.

Shaw mengalami kecederaan ketika menentang Sepanyol bulan lalu - dalam penampilan pertama di pentas antarabangsa sejak patah kaki pada 2015.

Dia melengkapkan aksi 90 minit ketika United bangkit daripada ketinggalan dua gol dan menang 3-2 dalam aksi Liga Perdana Inggeris, Sabtu lalu.

FA mengesahkan dia kembali menerima rawatan lanjut bersama kelab.

Chilwell menyertai skuad tidak berpengalaman England yang dibimbing Gareth Southgate - bersama rakan sepasukannya di Leicester, James Maddison, 21, serta pemain yang dipinjamkan ke Derby, Mason Mount, 19.

Seorang lagi pemain muda, Jadon Sancho, 18, yang beraksi untuk Borussia Dortmund, turut disenaraikan.

Pertahanan Brighton, Lewis Dunk juga dipanggil kali pertama bagi menggantikan tempat

James Tarkowski yang mengalami kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Oktober 2018 @ 8:07 AM