CHILWELL kesakitan selepas mengalami kecederaan.
CHILWELL kesakitan selepas mengalami kecederaan.
AFP

London: England mungkin beraksi di Piala Dunia tanpa Ben Chilwell selepas pertahanan kiri itu mengalami kecederaan hamstring ketika Chelsea menewaskan Dinamo Zagreb 2-1, awal pagi tadi.

Denis Zakaria menjaringkan gol kemenangan pada penampilan pertamanya yang membolehkan Blues bangkit menewaskan juara Croatia.

Namun kemenangan itu meresahkan Chelsea dan England apabila Chilwell terpaksa dibantu keluar padang pada masa kecederaan yang menjejaskan impiannya ke Qatar.

"Nampak tidak positif, ia hamstring," kata pengendali Chelsea, Graham Potter. "Kami perlu imbas dan lihat tahap kecederaannya."

Chilwell yang memiliki 17 kap bersama Three Lions menganggotai skuad England yang mara ke final Euro 2020.

England membuka kempen di Qatar dengan menentang Iran dalam tempoh kurang tiga minggu pada 21 November.

Zagreb memerlukan kemenangan di Stamford Bridge berbanding Chelsea yang sudah pun mengesahkan kedudukan selaku juara Kumpulan E.

Dinamo yang mahu merebut tempat ke peringkat kalah mati Liga Europa bermula garang selepas mendahului minit ketujuh menerusi tandukan Bruno Petkovic namun Raheem Sterling menyamakan kedudukan 11 minit kemudian sebelum Zakaria menjaringkan gol pertamanya minit ke-30.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 November 2022 @ 8:52 AM