GREALISH (tengah) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. FOTO EPA
GREALISH (tengah) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. FOTO EPA
AFP

Andorra la Vella: Jack Grealish dan Ben Chilwell masing-masing menjaringkan gol pertama untuk England ketika pendahulu Kumpulan I itu membelasah Andorra 5-0 pada kempen kelayakan Piala Dunia, hari ini.

Chilwell meletakkan skuad bimbingan Gareth Southgate di depan pada awal saingan sebelum Bukayo Saka menambah gol kedua di Estadi Nacional.

Tammy Abraham menjaringkan gol pertama untuk England selepas dua tahun pada separuh masa kedua dan James Ward-Prowse kemudian menambah gol keempat.

Grealish yang pada musim pertamanya bersama Manchester City selepas berhijrah dari Aston Villa, masuk sebagai pemain gantian sebelum meledak gol.

England mempunyai kelebihan empat mata di tangga teratas peringkat kumpulan dan hanya memerlukan dua kemenangan lagi daripada tiga perlawanan terakhir untuk memastikan layak secara automatik ke Piala Dunia.

Mereka akan bertemu Hungary di tempat sendiri Rabu ini sebelum menanti kunjungan Albania dan kemudian berkunjung ke San Marino pada bulan depan.

Naib juara Euro 2020 itu dilihat tidak berdepan masalah untuk layak ke Piala Dunia Qatar pada tahun depan.

"Saya gembira dengan cara pasukan beraksi pada perlawanan ini menentang lawan yang mempunyai cabaran spesifik iaitu gemar bertahan. Kami memilih pemain yang mampu menghadapi cabaran seperti ini.

"Ada momen menarik apabila Chilwell menjaringkan gol selepas melalui situasi sukar bersama kami. Begitu juga dengan Jack yang turut menjaringkan gol pertama.

"Tammy dan Bukayo bukan pemain yang sering menjaringkan gol, jadi amat menarik melihat aksi mereka semua," kata Southgate.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Oktober 2021 @ 7:42 AM