KLOPP (dua dari kanan) mahu anak buahnya fokus kepada saingan EPL. FOTO Reuters
KLOPP (dua dari kanan) mahu anak buahnya fokus kepada saingan EPL. FOTO Reuters
Reuters

Madrid: Harapan Liverpool untuk memenangi trofi dipadamkan dengan penyingkiran Liga Juara-Juara namun pengurusnya Juergen Klopp menyeru pasukannya untuk 'memerah kudrat sepenuhnya' dalam baki Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini ketika mereka mengejar penamat empat teratas.

Gol separuh masa kedua Karim Benzema memastikan Real Madrid menang 1-0 ke atas Liverpool pada perlawanan kedua peringkat 16 terakhir, melengkapkan kemenangan agregat 6-2.

"Jika anda mahu menang kejohanan, anda perlu pamer aksi menakjubkan. Kami tidak melakukannya malam ini, jadi kerana itulah kami tersingkir," kata Klopp.

Liverpool sudah tersingkir daripada Piala Liga dan Piala FA serta berada di tangga keenam EPL dengan 42 mata selepas kalah 0-1 di tangan pasukan diancam penyingkiran, Bournemouth hujung minggu lalu.

"Tugas kami sekarang mengerah segala kudrat yang boleh daripada musim ini," kata Klopp.

"Ia sesuatu yang agak aneh setakat ini, seperti dua perlawanan terbaharu kami - persembahan sensasi menentang Manchester United, pasukan bola sepak yang amat bagus, dan persembahan sangat teruk berdepan Bournemouth,

"Ini sekali lagi meletakkan lebih tekanan buat kami. Tiga mata dan saya rasa semua orang boleh merasainya. Sekali lagi ada jarak (ke kedudukan empat teratas) kerana pasukan lain menang perlawanan mereka."

Liverpool berdepan perlawanan mencabar apabila akan berkunjung ke Manchester City dan Chelsea sebelum menanti kehadiran pendahulu, Arsenal dalam tempoh sembilan hari.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mac 2023 @ 3:41 PM