PENGURUS Liverpool, Jurgen Klopp (kanan) bersama kapten, Jordan Henderson selepas kecundang di tangan Real Madrid di final Liga Juara-Juara Eropah, 28 Mei lalu. FOTO EPA
PENGURUS Liverpool, Jurgen Klopp (kanan) bersama kapten, Jordan Henderson selepas kecundang di tangan Real Madrid di final Liga Juara-Juara Eropah, 28 Mei lalu. FOTO EPA
Reuters

London: Jurgen Klopp menggesa anak buahnya menggunakan kekecewaan terlepas gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Liga Juara-Juara Eropah, musim lalu, sebagai motivasi untuk memburu dua trofi itu musim ini.

Musim lalu, Liverpool menang Piala Liga dan Piala FA, tetapi tewas 0-1 kepada Real Madrid di final Liga Juara-Juara Eropah pada Mei dan terlepas trofi EPL kepada Manchester City dengan perbezaan satu mata.

"Kedua-dua pasukan (Liverpool dan City) bermain pada tahap tinggi dan hanya satu perkara yang membezakannya, sama seperti satu gol di final Liga Juara-Juara Eropah," kata Klopp.

"Ini adalah sebahagian daripada keadaan. Ia boleh berlaku pada hujung musim apabila mata sama. Ia tidak membuatkan saya atau pemain menjadi gila kerana ia sebahagian daripadanya. Kami boleh jadikan situasi itu untuk menjadi lebih bersemangat."

Liverpool akan menentang City pada perlawanan Perisai Komuniti, hari ini, yang membolehkan penyokong masing-masing menilai aksi senjata baharu, Erling Haaland dan Darwin Nunez dalam perlawanan kompetitif.

Kedua-dua penyerang menjaringkan gol ketika aksi pramusim dengan Nunez meledak empat kali menentang RB Leipzig manakala Haaland memastikan City mengatasi Bayern Munich.

Bagaimanapun, Klopp meredakan jangkaan tinggi dengan mengatakan kedua-dua penyerang itu memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan pasukan baharu.

"(City) turut berdepan masalah sama seperti kami - mereka tidak menggunakan larian biasa Erling, sama seperti kami tidak menggunakan larian semulajadi Darwin setakat ini," kata Klopp.

"Apabila Darwin mahu berlari, kami memberikan bola sepanjang masa dan ia tidak membantu kerana jarang pemain yang mengasak lawan dapat mencipta peluang sepanjang masa.

"Saya yakin mereka memerlukan masa untuk Erling, tetapi itu bukan bermakna dia tidak boleh menjaringkan gol dan dia sudah berbuat demikian ketika menentang Bayern."

Liverpool akan memulakan kempen EPL dengan berkunjung ke Fulham pada 6 Ogos.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Julai 2022 @ 1:53 PM