PENYERANG Liverpool, Mohamed Salah (kiri) gagal menewaskan penjaga gol  Real Madrid, Thibaut Courtois  di Anfield. FOTO AFP
PENYERANG Liverpool, Mohamed Salah (kiri) gagal menewaskan penjaga gol Real Madrid, Thibaut Courtois di Anfield. FOTO AFP
AFP

Liverpool: Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp mengakui pasukannya perlu bangkit daripada kekecewaan dengan segera selepas disingkirkan Real Madrid dalam saingan Liga Juara-Juara bagi memastikan mereka tidak terlepas saingan berprestij itu musim depan.

Liverpool gagal menjaringkan gol walaupun memiliki deretan peluang dalam perlawanan berkesudahan 0-0 di Anfield pagi tadi sekaligus membolehkan Madrid bertahan dengan kemenangan 3-1 pada suku akhir pertama.

Juara Inggeris itu menduduki tempat keenam Liga Perdana dengan hanya berbaki tujuh perlawanan, tiga mata di belakang kelompok empat teratas yang layak ke kejohanan utama Eropah.

Liverpool mara ke Liga Juara-Juara sejak empat musim lalu dan dua kali layak ke final di bawah kendalian Klopp.

Selepas tewas 1-3 kepada Madrid pada final 2018, The Reds menewaskan Tottenham untuk menjulang trofi di ibu kota Sepanyol itu pada 2019.

Tetapi selepas menamatkan kemarau 30 tahun gelaran Liga Perdana, prestasi Liverpool terus menjunam.

"Kami perlu bangkit segera. Kami sayang kejohanan ini dan atas pelbagai sebab ia sangat penting kepada kelab," kata Klopp.

"Ia tidak mudah sekarang, dua atau tiga perlawanan mungkin tampak mudah dalam jadual tetapi kami kini boleh tumpu kepada Liga Perdana.

"Pada malam Isnin, Leeds cabaran selepas ini dan kami perlu bersiap sedia dari sekarang.''

Liverpool kini hanya sekali menang dalam lapan aksi terakhir di Anfield selepas rekod megah mereka di tempat sendiri musnah dalam musim tanpa penonton akibat pandemik koronavirus.

Bagaimanapun, mereka menang tiga aksi berturut-turut dalam saingan liga kali pertama sejak tiga perlawanan pembukaan musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 April 2021 @ 7:54 AM