JURGEN Klopp. FOTO AFP
JURGEN Klopp. FOTO AFP
Agensi

London: Jurgen Klopp berkata sejarah Liverpool membuatkan mereka percaya akan keajaiban dengan pemburuan kelayakan Liga Juara-Juara masih terbuka.

Liverpool kini satu mata di belakang Manchester United dalam perlumbaan untuk menamatkan saingan di empat tempat teratas selepas enam kemenangan berturut-turut Liga Perdana Inggeris (EPL) namun mereka kini bermain lebih satu perlawanan berbanding pasukan Erik ten Hag yang mula goyah.

Liverpool berada di kelas tersendiri apabila mereka mendaki ke Liga Juara-Juara pada 2020-21 apabila penjaga gol Alisson menjaringkan gol kemenangan penting pada masa kecederaan di Hawthorns.

Pada dua musim sebelum itu, pasukan Klopp membalikkan defisit 3-0 menentang Barcelona pada separuh akhir Liga Juara-Juara dalam perjalanan untuk memenangi mahkota Eropah keenam Liverpool.

Pengurus Liverpool itu mengakui episod yang tidak dapat dilupakan itu adalah kerana kepercayaan yang berterusan kepada pasukannya bahawa segala-galanya boleh dilakukan, walaupun perbezaan musim ini mereka terpaksa bergantung harap kepada bantuan luar iaitu United atau Newcastle.

"Bukannya kami menyebutnya setiap hari tetapi setiap orang yang terbabit ketika ini tidak akan melupakannya sepanjang hidup kami," kata Klopp yang pasukannya akan bertandang ke Leicester Isnin ini.

"Sekarang kami perlu menang tetapi pasukan lain juga boleh memenangi semua perlawanan mereka.

"Beberapa minggu lalu ia benar-benar hilang dari pandangan, saya tidak dapat melihatnya sama sekali, tetapi itu tidak bermakna kami tidak akan cuba mendekatkan diri. Itulah satu-satunya perkara yang kami lakukan: kami semakin dekat," kata Klopp.

Erik ten Hag enggan panik dengan ancaman daripada Liverpool terhadap harapan Manchester United layak ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan.

Deretan enam kemenangan berturut-turut Liverpool dan dua kekalahan berturut-turut United di tangan West Ham dan Brighton, menyaksikan skuad kendalian Ten Hag yang bermain kurang satu perlawanan hanya satu mata di depan anak buah Jurgen Klopp.

United akan berdepan Wolves di Old Trafford malam ini - satu daripada tiga perlawanan di laman sendiri pada baki empat perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris musim ini - sebelum Liverpool menentang Leicester pada Isnin.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mei 2023 @ 11:23 AM