SELANGOR mempunyai lapan atau sembilan pernah beraksi di perlawanan antarabangsa. FOTO Ihsan Selangor FC
SELANGOR mempunyai lapan atau sembilan pernah beraksi di perlawanan antarabangsa. FOTO Ihsan Selangor FC
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pertembungan dua gergasi Liga Super membabitkan Selangor FC bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam ini sudah pastinya hangat dan dinantikan penyokong bola sepak tanah air.

Hal ini kerana, pertembungan dua musuh tradisi ini sudah pastinya akan disajikan dengan situasi 'tegang' dan sengit sekali gus menuntut kedua-dua pasukan mengawal emosi masing-masing.

Pengurus skuad Gergasi Merah Mahfizul Rusydin Abdul Rashid berkata, barisan pemain Selangor FC sudah pastinya menjaga tingkah laku masing-masing selain mengelak melakukan provokasi atau kekasaran melampau hingga mengundang tindakan daripada pengadil perlawanan.

"Pada saya, pemain yang ada cukup berpengalaman kerana ada lapan atau sembilan pemain kita pernah beraksi di perlawanan antarabangsa.

"Daripada segi emosi dan kawalan perlawanan itu sendiri, saya yakin mereka mampu mengendalikannya. Tetapi kita harap tidak berlaku usaha provokasi daripada mana mana pihak.

"Ini secara tidak langsung mencerminkan sifat tiada semangat kesukanan yang seharusnya ditangani dengan baik. Kami juga harap pengadil dapat mengawal perlawanan dan kawal tempo dengan baik," katanya.

Selain itu, Mahfizul juga menegaskan pasukan itu tidak bimbang sekalipun bintang harapan mereka, Faisal Halim masih belum menemui sentuhan jaringan selepas beraksi empat perlawanan.

Katanya, pemain kebangsaan itu tetap memberi sumbangan yang besar kepada pasukan khususnya dalam membantu mereka meneruskan rekod tanpa kalah dalam saingan Liga Super setakat ini.

"Faisal menyumbang 100 peratus kepada pasukan dan kalau kita lihat statistik, dia banyak menyumbangkan bantuan gol buat pasukan. Ini sumbangan yang bermakna buat rakan sepasukan.

"Jadinya kita harap Faisal dapat meneruskan prestasinya dan membantu kita untuk berdepan JDT," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mac 2023 @ 12:42 PM