BARISAN pemain JDT sedang giat menjalani latihan. FOTO Selangor FC
BARISAN pemain JDT sedang giat menjalani latihan. FOTO Selangor FC
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Perang psikologi menghangatkan lagi suasana pertemuan paling dinantikan penyokong bola sepak tanah air membabitkan pertemuan dua kelab gergasi iaitu juara bertahan, Johor Darul Takzim (JDT) dan Selangor FC pada saingan separuh akhir Piala FA 2023, esok.

Ketika ini, kecoh di media sosial membabitkan JDT dilihat seolah-olah cuba mengadakan perang psikologi sebelum bertembung di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Johor.

Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebelum ini memuat naik InstaStory sedang melakukan senaman di Stadium Sultan Ibrahim, Johor sambil memperhatikan latihan skuad Harimau Selatan.

Apa yang menariknya ialah, gambar keputusan di 'scoreboard' stadium yang mana JDT bakal menang dengan keputusan 5-0 menentang Selangor, esok.

Situasi terbabit mendapat reaksi pengendali skuad Gergasi Merah, Tan Cheng Hoe yang tidak mahu melayan perkara itu kerana boleh menjejaskan tumpuan untuk mencipta keputusan positif di SSI.

"Yang penting itu adalah perang psikologi dan semestinya saya rasa pemain pasukan Selangor dah tahu dan sedia maklum tentang perang psikologi itu.

"Saya rasa pemain cukup pengalaman yang terbaik kerana kita juga ada pemain yang bermain dengan skuad kebangsaan dan berpengalaman.

"Jadinya kita harap itu sebagai satu cabaran untuk kita, yang penting kita tidak ada sebarang gangguan emosi pemain apabila menentang JDT nanti," katanya.

Mengikut rekod, kali terakhir pertemuan membabitkan kedua-dua pasukan adalah di saingan Liga Super memenyaksikan keputusan memihak kepada JDT dengan 4-0 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Selain itu, Cheng Hoe berkata, walaupun SSI dianggap sebagai venue keramat untuk JDT namun beliau melihat tiada apa yang mustahil untuk mencipta rekod mencatat kemenangan menentang skuad Harimau Selatan itu.

"Setakat ini, semua pemain berada dalam keadaan terbaik tanpa sebarang kecederaan sekali gus mampu memberi tumpuan membabitkan taktikal ketika bertandang ke SSI.

"Bila kita ke SSI, kita tahu kekuatan JDT namun kena tahu matlamat untuk mencari keputusan positif. Harap pemain dapat melakukan terbaik terutamanya mengawal emosi apabila beraksi di hadapan penyokong tuan rumah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Jun 2023 @ 1:26 PM