BARISAN pemain Selangor giat menjalani latihan. FOTO FB Selangor FC
BARISAN pemain Selangor giat menjalani latihan. FOTO FB Selangor FC
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Selangor FC berharap mutu pengadilan lebih baik dapat ditampilkan pada aksi Liga Super membabitkan pertembungan hangat antara Red Giants dan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, di Kelana Jaya, Jumaat ini.

Pengurus Selangor FC, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid berkata, insiden musim lalu yang menyaksikan beberapa keputusan pengadil sedikit menimbulkan keraguan hingga berlaku serangan ke atas pengadil di luar perkarangan stadium diharapkan tidak akan berlaku lagi kali ini.

Jelasnya, beliau percaya pegawai perlawanan yang akan ditugaskan dalam aksi itu nanti sudah bersedia untuk mengadili dengan sebaiknya aksi itu nanti.

"Saya rasa perkara yang berlaku itu (insiden pengadil diserang di luar stadium) telah dijadikan sebagai pengajaran besar untuk semua pihak, dalam hal ini isu-isu mengenai kepengadilan perlawanan kita serahkan kepada mereka yang berkuasa dalam hal pengadilan ini, untuk memantau prestasi pengadil-pengadil yang beraksi setakat ini.

"Dan saya rasa kita sebagai pentadbir pasukan, kita berharap dan akan menyokong penuh usaha-usaha yang sedang dijalankan oleh FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) dalam meningkat mutu kepengadilan ini.

"Pengadil (yang akan mengadili) itu pun kita tak tahu siapa, dan harap boleh mengawal perlawanan dan tempo dengan baik," katanya ketika ditemui media pada Majlis Pengenalan Rakan-Rakan Strategi Selangor FC 2023 di Pusat Latihan Selangor FC di Shah Alam, hari ini.

Pada aksi kedua Liga Super di Stadium MBPJ musim lalu menyaksikan pengadil perlawanan, Zulkarnain Zakaria 'diserang' di luar stadium oleh penyokong Merah Kuning.

Namun paling mencuri tumpuan adalah sebuah video yang tular membabitkan Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, DR Johan Kamal Hamidon yang turut mengkritik pegawai perlawanan itu di luar stadium, dengan keputusan akhir menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 1-1.

Ujar Mahfizul lagi, beliau berharap pemain Red Giants dapat mengelak daripada melakukan sebarang kekasaran yang boleh merugikan pasukan dalam aksi getir itu nanti.

"Pada saya pemain-pemain yang ada dah cukup pengalaman, contohnya macam dalam pasukan ada lapan hingga sembilan orang yang biasa dengan perlawanan antarabangsa.

"Jadi dari segi emosi atau kawalan perlawanan itu sendiri, mereka secara profesional boleh kawal. Namun kita berharap tidak berlaku usaha-usaha provokasi, supaya secara tak langsung dapat mencerminkan semangat kesukanan yang tinggi," katanya.

Ketika ini, Selangor berada di tangga ketiga liga dan hanya ketinggalan dua mata di belakang JDT yang memimpin carta dengan 12 mata maksimum daripada empat aksi setakat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mac 2023 @ 6:18 PM