BIDOGLIO awasi cabaran Gergasi Merah.
BIDOGLIO awasi cabaran Gergasi Merah.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT) Hector Bidoglio ingin sekali lagi 'membaham' Selangor FC dengan menurunkan barisan pemain terbaik pada pertemuan Sabtu ini.

Walaupun JDT mempunyai rekod cemerlang membelasah Selangor FC 5-0 di laman sendiri namun beliau tidak mahu memandang remeh cabaran yang akan diberikan oleh skuad Gergasi Merah itu.

Malah, pertembungan dengan juara 33 kali Piala Malaysia itu sudah pastinya menjadi medium terbaik sebagai persiapan menjelangnya final Piala FA pada 10 September ini.

"Kita akan menilai daripada hari ke hari untuk melihat keadaan setiap pemain kita. Di JDT, kami sentiasa meletakkan keutamaan untuk memastikan pemain terbaik akan beraksi di atas padang.

"Kita akan tengok balik pemain-pemain ini untuk menentang Selangor dan juga seterusnya bersedia untuk melawan Terengganu", katanya.

Dengan tiga mata yang diraih JDT meletakkan pasukan itu kekal di takhta liga dengan 41 mata setakat ini manakala Melaka United di tangga kelapan.

Berbaki tujuh perlawanan Liga Super ketika ini menyaksikan Harimau Selatan mempunyai harapan cerah untuk terus mengekalkan takhta untuk kali kesembilan berturut-turut.

Mengikut rekod, JDT sudah mengharungi 15 perlawanan dengan mengumpul 41 mata manakala Sabah di tempat kedua dengan 35 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Ogos 2022 @ 2:13 PM