FAISAL Halim.
FAISAL Halim.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kehadiran tonggak Selangor FC Faisal Halim ke Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) semalam bagaikan melengkapkan pasukan yang kehilangan pemain itu sejak sebulan lalu.

Pengendali Selangor FC Nidzam Jamil berkata, kehadiran Faisal atau lebih dikenali sebagai Mickey meniup semangat rakan sepasukan untuk mencipta kemenangan terhadap Negeri Sembilan pada perlawanan Piala FA terbabit.

"Sudah tentu kehadiran Faisal menjadi tonik semangat kepada pasukan kerana saya rasa Faisal dah sebulan tak bersama dengan kita, ia seperti pecahan yang hilang. Jadi kita gembira Faisal ada disini untuk tengok dan dia masuk ke bilik persalinan sebelum perlawanan.

"Semua tidak menjangka dia turun hari ini(semalam), kita semua juga agak emosi (terharu) dan kami bergurau senda seperti biasa. Saya sangat rindu untuk berborak bersama dia, saya pasti kita semua rindu dan bukan saya sahaja.

"Untuk malam ini(semalam), apa-apa sahaja keputusan yang boleh membawa kita ke peringkat seterusnya itu adalah kejayaan yang kita kongsi bersama pemain. Tanpa bolos itu juga bagus dan mereka semua faham cara permainan yang kita semua impikan dan bayangkan," katanya.

Kejayaan Selangor FC dalam menundukkan Negeri Sembilan FC 4-0 pada aksi pusingan 16 Piala FA memberi peluang untuk skuad Gergasi Merah mara ke peringkat suku akhir perlawanan.

Selangor FC dijadualkan akan bertemu dengan pasukan Kuching City FC apabila pasukan The Cats itu terlebih dahulu menempah slot ke suku akhir selepas membenam Kuala Lumpur City (KL City) FC.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2024 @ 2:18 PM