PEMAIN import Sabah, Telmo Castanheira (kiri) menanduk masuk gol ketiga ketika menewaskan Kelantan United 3-1 di Stadium Likas malam ini. FOTO MOHD ADAM ARININ
PEMAIN import Sabah, Telmo Castanheira (kiri) menanduk masuk gol ketiga ketika menewaskan Kelantan United 3-1 di Stadium Likas malam ini. FOTO MOHD ADAM ARININ
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Sabah FC terus mengekalkan rentak kemenangan selepas menewaskan Kelantan United FC 3-1 pada aksi Liga Super di Stadium Likas, malam ini.

Kemenangan itu membolehkan Sabah mengekalkan kedudukan selaku pendahulu liga dengan mengutip enam mata, sama mata dengan juara bertahan Johor Darul Ta'zim (JDT), tetapi dipisahkan dari segi perbezaan jaringan.

Gol pertama skuad Sang Badak dijaringkan melalui sepakan penalti Darren Lok pada minit ke-22 selepas Daniel Ting dijatuhkan di kawasan kotak penalti Kelantan United.

Berselang empat minit kemudian, penyerang dari Korea Selatan, Park Taesu menambah satu lagi gol hasil hantaran rakan di kawasan kotak penalti Kelantan United, meletakkan Sabah 2-0 pada minit ke-26.

Kedudukan itu kekal hingga tamat separuh masa pertama yang membolehkan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee melangkah dengan lebih yakin.

Skuad Badak hanya memerlukan seminit selepas babak kedua bermula untuk menambah gol apabila pemain import dari Portugal, Telmo Castanheira menanduk masuk hantaran Daniel Ting pada minit ke-46.

Kelantan United mendapat jaringan sagu hati hasil sepakan percuma disempurnakan Indra Putra Mahyuddin pada minit ke-92.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mac 2023 @ 11:16 PM