Kota Kinabalu: Stadium Likas kekal menjadi kubu kuat Sabah FC apabila membenam Kelantan FC dengan jaringan 6-1 dalam saingan Liga Super, malam ini.
Lebih menarik, dua gol awal skuad Sang Badak adalah jaringan hatrik pemain tengahnya, Daniel Ting, masing-masing pada minit ketiga dan ke-10, manakala gol ketiga Sabah dijaringkan pemain pertahanan, Dominic Tan pada minit ke-47.
Kapten Sabah, Baddrol Bakhtiar menambah gol keempat pada minit ke-60 hasil hantaran Stuart John Wilkin di kawasan kotak penalti Kelantan, sekali gus menambahkan lagi kesukaran Kelantan dalam cubaannya untuk menembusi Stadium Likas selaku kubu kuat Sang Badak.
Stuart kemudian menghadiahkan satu lagi gol kepada Sabah melalui sepakan kencangnya dari hadapan kotak penalti Kelantan yang gagal ditampan penjaga golnya, Mohd Farhan Abu Bakar pada minit ke-74.
Derita Kelantan bertambah apabila Sabah berjaya menambah satu lagi gol pada minit kecederaan babak kedua melalui Telmo Castanheira, sekali gus mengukuhkan kedudukan Sabah dengan jaringan 6 - 1.
Gol tunggal Kelantan pula dijaringkan pada awal permulaan aksi separuh masa kedua melalui Miguel Angel Garrido Cifuentes, namun usaha merapatkan jaringan pasukan pelawat dikecewakan dua minit kemudian.
Secara keseluruhan, Sabah bermain dengan cukup baik sepanjang perlawanan malam ini dan berpeluang mencipta lebih banyak gol, namun beberapa peluang gagal disudahkan dengan tepat.
Keputusan terbaru itu pasti menaikkan semula semangat pasukan dan sokongan peminat selepas Sabah FC gagal mengutip mata penuh dalam tiga aksi Liga Super di gelanggang lawan sebelum ini.