PARK Taesu gembira selepas meledak gol keempat Sabah. FOTO MOHD ADAM ARININ
PARK Taesu gembira selepas meledak gol keempat Sabah. FOTO MOHD ADAM ARININ
Izwan Abdulla


Kota Kinabalu: Sabah FC mengekalkan kemenangan di kubu kuatnya apabila menewaskan Penang FC 5-2 dalam aksi Liga Super di Stadium Likas, malam ini.

Menariknya perlawanan malam ini turut menyaksikan lima sepakan penalti dihadiahkan pengadil, Zulkarnain Zakaria, masing-masing tiga kepada Sabah dan dua kepada Pulau Pinang.

Empat daripada sepakan penalti itu pula berlaku pada minit kecederaan yang berlarutan sehingga minit ke-102, dengan satu sepakan penalti Pulau Pinang pada minit ke-90 dianggap tidak sah.

Sabah berjaya memperoleh dua gol menerusi sepakan penalti, masing-masing menerusi Darren Lok pada minit ke-45 dan Rizal Ghazali pada minit ke-102, manakala satu sepakan penalti pada minit ke-100 yang dilakukan Gabriel Peres gagal apabila terkena palang gol.

Pulau Pinang pula meraih sepakan penalti yang menghadiahkan gol kedua buat pasukan pelawat menerusi Adriano Aparecido Narcizo pada minit ke-91.

Penguasaan Sabah begitu ketara pada separuh masa kedua selepas berjaya menambah dua gol yang membolehkan jurang jaringan bertambah luas setelah berkedudukan 2-1 pada babak pertama permainan.

Sabah kekal menguasai permainan dengan kedudukan 4-1 sehinggalah pada minit ke-91 apabila Pulau Pinang diberi sepakan penalti yang menyebabkan keputusan berubah 4-2.

Bagaimanapun, Sabah mendapat bonus apabila diberikan dua sepakan penalti pada minit ke-100 dan ke-102, dengan satu daripadanya berjaya menghasilkan gol, membolehkan skuad Sang Badak menamatkan perlawanan dengan 5-2.

Kejayaan itu sekali gus membolehkan Sabah mengumpul tiga mata penuh di bawah bimbingan Penolong Jurulatih, Rastislav Bozik yang menggantikan Datuk Ong Kim Swee, malam ini.

Perlawanan malam ini turut menyaksikan penyerang import Sabah dari Korea Selatan, Park Taesu menghadiahkan dua gol, masing-masing gol pembukaan pada minit ketiga permainan dan gol keempat pada minit ke-59.

Dua lagi gol Sabah masing-masing dijaringkan Darren Lok melalui sepakan penalti pada minit ke-45 dan Daniel Ting pada minit ke-54.

Daniel berjaya menjaringkan gol yang menarik menerusi tendangan leret ke arah penjuru kiri gawang Pulau Pinang hasil hantaran rakan di kawasan kotak penalti.

Gol Penang FC pula dijaringkan penyerangnya, Hassan Saad pada minit kelapan melalui sepakan leret ke arah penjuru kiri gawang Sabah dan gol sepakan penalti Adriano pada minit ke-90.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mac 2023 @ 11:22 PM