CITY seri bertemu Nottingham Forest. FOTO Reuters
CITY seri bertemu Nottingham Forest. FOTO Reuters
AFP

Nottingham, United Kingdom: Pep Guardiola mengakui Manchester City hanya perlu menyalahkan diri sendiri kerana gagal menewaskan Nottingham Forest apabila sekadar seri 1-1 seterusnya memusnahkan usaha mereka untuk mengekalkan gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL).

Kemenangan 4-2 Arsenal di Aston Villa kembali melonjakkan kedudukan mereka ke tangga teratas liga mengatasi City.

Skuad Guardiola bagaimanapun berada di landasan untuk mendapatkan semula kedudukan utama selepas gol Bernardo Silva pada minit ke-40 di City Ground.

Namun Erling Haaland terlepas dua peluang dan Kevin De Bruyne turut mensia-siakan peluang terhidang sebelum hantaran Chris Wood untuk gol Forest pada minit ke-84 menggegarkan juara bertahan itu.

Keputusan itu menyaksikan City ketinggalan dua mata di belakang Arsenal yang mempunyai satu perlawanan di tangan untuk melebarkan kedudukan dalam perebutan kejuaraan selepas bangkit daripada kekalahan 1-3 pertengahan minggu kepada anak buah Guardiola.

Guardiola mengakui City menjadi mangsa kejatuhan mereka sendiri selepas penyudah yang longgar.

"Ia adalah persembahan yang baik, kami bermain sangat bagus tetapi kami tidak menjaringkan gol. Pada tahap ini anda perlu menjaringkan gol dan itulah sebabnya kami kehilangan mata.

"Pada babak pertama ia sepatutnya sudah 2-0 atau 3-0, kami melepaskan satu cubaan ke gawang dan kami mencicirkan mata. Kami sedih dan kecewa tetapi cara kami bermain sangat bagus.

"Kami terlepas gol yang hanya satu meter dari penjaga gol, bukan sekali, beberapa kali. Kerana itu kami tidak menang. Tapi apa yang saya boleh katakan," katanya.

Guardiola menunjukkan dirinya tertekan untuk mengejar gelaran apabila dilayangkan kad pada babak kedua.

Pengendali dari Sepanyol itu berbalah dengan pegawai keempat perlawanan selepas berang dengan pengadil, Graham Scott tidak memberikan keputusan memihak mereka selepas Haaland dijatuhkan hasil cabaran Joe Worrall.

"Kami tidak membuat alasan. Saya boleh katakan bahawa banyak yang terjadi musim ini," kata Guardiola. "Saya bukanlah orang yang berada di sini untuk bercakap mengenai apa yang kami tidak boleh kawal."

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Februari 2023 @ 8:11 AM