HAALAND nadi kejayaan City raih gelaran treble. -FOTO Reuters
HAALAND nadi kejayaan City raih gelaran treble. -FOTO Reuters
Agensi

London: Pengendali Manchester City, Pep Guardiola percaya penyerang Erling Haaland sepatutnya memenangi Ballon d'Or 2023.

Haaland menjaringkan 52 gol dalam 53 penampilan untuk membantu City memenangi treble bersejarah pada 2022-23.

Pemain antarabangsa Norway itu adalah antara 30 calon untuk memenangi Ballon d'Or pada 30 Oktober.

Guardiola berkata: "Haaland sepatutnya menang - Ya. Kami memenangi treble dan dia menjaringkan 50 juta gol."

Penyerang Inter Miami, Lionel Messi dilihat sebagai saingan utama kepada Haaland dalam pencalonan untuk anugerah individu teratas dalam bola sepak dunia.

Messi ialah pemenang Ballon d'Or tujuh kali dan memainkan peranan penting dalam kejayaan Argentina di Piala Dunia 2022 ketika masih bergelar pemain Paris St-Germain.

Guardiola, yang menguruskan Messi di Barcelona, percaya pemain berusia 36 tahun itu layak menerima kategorinya sendiri.

"Ballon d'Or mestilah dua bahagian. Satu untuk Messi, dan selepas itu cari yang lain," kata Guardiola.

"Musim paling teruk Messi adalah yang terbaik untuk yang lain."

Haaland sudah menjaringkan lapan gol dalam 12 penampilan kempen ini, tetapi tidak menemui jaringan sejak 23 September apabila City menewaskan Nottingham Forest 2-0.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Oktober 2023 @ 1:03 PM