CASEMIRO (kanan) terkejut dilayangkan kad merah. FOTO Reuters
CASEMIRO (kanan) terkejut dilayangkan kad merah. FOTO Reuters
AFP

London: Erik ten Hag mengkritik keputusan Video Bantuan Pengadil (VAR) yang tidak konsisten selepas Casemiro adalah satu-satunya pemain yang dibuang padang berikutan pergaduhan ketika kemenangan 2-1 menentang Crystal Palace pagi tadi.

Sepakan penalti awal Bruno Fernandes dan rembatan Marcus Rashford meletakkan United di landasan terbaik bagi kemenangan kali ke-13 di laman sendiri untuk semua kejohanan.

Bagaimanapun, pasukan bimbingan Ten Hag harus bertahan ketika di hujung aksi yang mendebarkan di Old Trafford selepas pemain tengah kelahiran Brazil, Casemiro diperintah keluar padang sebelum Jeffrey Schlupp menjaring gol untuk merapatkan jurang.

Sebelum golnya, Schlupp menolak sayap United, Antony sehingga keluar padang, sekali gus mencetuskan pergaduhan membabitkan kedua-dua pemain yang berakhir dengan Casemiro menerima kad merah kerana melakukan keganasan.

Pengadil, Andre Marriner dinasihatkan untuk memeriksa insiden itu melalui VAR bagi menyemak imej Casemiro mencengkam Will Hughes di bahagian leher.

"Ia adalah intensiti yang sangat tinggi pada 70 minit pertama sehingga insiden itu berlaku dan kemudian anda melihat pasukan ini berdiri untuk mempertahankan sesama sendiri," kata Ten Hag.

"Ia adalah semangat yang baik untuk pasukan dan mereka tidak menerima apabila pemain kami boleh cedera teruk. Itulah cara Antony dilayan.

"Pasukan ini tetap bersatu, tetapi sudah tentu anda perlu mengawal emosi anda, tetapi ia benar-benar sukar pada saat sebegitu.

"Kemudian saya melihat kedua-dua pasukan ini bergaduh antara satu sama lain, saya melihat beberapa pemain, melintasi garisan dan kemudian seorang pemain dipilih dan dibuang padang. Bagi saya, itu tidak betul."

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Februari 2023 @ 9:46 AM