PEMAIN sayap Manchester United, Antony (kanan) berlatih bersama Cristiano Ronaldo (dua dari kanan) dan rakan sepasukan. FOTO Reuters
PEMAIN sayap Manchester United, Antony (kanan) berlatih bersama Cristiano Ronaldo (dua dari kanan) dan rakan sepasukan. FOTO Reuters
Reuters

Manchester: Pemain sayap Manchester United, Antony akan semakin baik apabila menyesuaikan diri dengan kelab selepas menjaringkan gol ketika menang 3-1 ke atas Arsenal pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), Ahad lalu, kata pengurus, Erik ten Hag.

Pemain antarabangsa Brazil itu menjaringkan gol pada penampilan pertama beberapa hari selepas meninggalkan Ajax Amsterdam dan Ten Hag berkata, dia tidak terkejut dengan kesan segera dipamerkan pemain berusia 22 tahun itu.

"Sudah tentu, kami memerlukan masa untuk menyesuaikan diri, tetapi dia pantas melakukannya dan saya tahu kebolehannya selepas melatihnya di Belanda sebelum ini," kata Ten Hag kepada media menjelang perlawanan pembukaan Liga Europa League menentang Real Sociedad, awal pagi Jumaat ini.

"Dia budak sangat bagus, terbuka untuk membantu dan pantas menyesuaikan diri. Semua orang menyambut kehadirannya dan saya yakin dia akan cemerlang."

Ten Hag terus percaya kepada Scott McTominay di bahagian tengah di sebalik kehadiran pemain berpengalaman, Casemiro dari Real Madrid dan pengurus dari Belanda itu berkata, dia gembira dengan pilihan pemain dalam skuadnya.

"Apabila pasukan bertindak baik, kami memiliki lebih daripada 11 pemain dan anda akan kekal," kata Ten Hag.

"Pasukan ini sedang meningkat, semakin baik tetapi bagi pemain yang tiada dalam kesebelasan, mereka boleh hadir pada bila-bila masa dan mungkin lebih baik berbanding pemain dalam kesebelasan utama. Saya tahu pasukan perlukan lebih daripada 11 pemain. Kami memiliki pemain simpanan yang bagus."

Penyerang, Marcus Rashford bermain cemerlang dalam empat kemenangan berturut-turut EPL dengan menjaringkan dua gol serta tiga bantuan jaringan, dan Ten Hag berkata, dia gembira melihat penyerang England itu bermain dengan senyuman semula.

"Saya dapat lihat Marcus Rashford yang gembira," kata Ten Hag.

"Kami bekerja keras buatnya dalam tempoh dua bulan lalu dalam aspek berbeza. Dia sukakannya dan mahu menunjukkannya di tengah padang.

"Ia bermula dengan kegembiraan, dia datang setiap hari dan menikmatinya, dia tersenyum, sesuatu yang positif dan jika anda meletakkan semua aspek itu bersama-sama - seperti cara bermain - dan anda gembira, anda sudah pasti akan memberi sumbangan besar kepada pasukan."

Anthony Martial terlepas perlawanan dengan Sociedad, tetapi penyerang berpengalaman, Cristiano Ronaldo dijangka berada dalam kesebelasan utama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 September 2022 @ 10:23 PM