TEN Hag (dua dari kiri) tidak berpuas hati dengan tindakan pengadil. FOTO Reuters
TEN Hag (dua dari kiri) tidak berpuas hati dengan tindakan pengadil. FOTO Reuters
AFP

Manchester: Erik ten Hag mengkritik keputusan tidak konsisten pegawai perlawanan selepas Casemiro menerima kad merah kedua musim ini ketika Manchester United seri tanpa jaringan dengan pasukan sedang bergelut, Southampton.

Casemiro diperintah keluar padang pada minit ke-34 di Old Trafford selepas melakukan terjahan tinggi ke atas pemain Southampton, Carlos Alcaraz.

Pegawai Video Bantuan Pengadil (VAR), Andre Marriner meminta pengadil perlawanan, Anthony Taylor untuk melihat semula kekasaran pemain Brazil itu yang pada awalnya hanya dilayangkan kad kuning.

Selepas melihat ulang tayang VAR pada monitor di tepi padang, Taylor mengubah keputusannya dengan melayangkan kad merah kepada Casemiro.

Selepas bangkit daripada kekalahan 7-0 di Liverpool hujung minggu lalu dengan menewaskan Real Betis dalam saingan Liga Europa, United dipaksa bekerja keras bagi mengelak kekalahan di tangan pasukan tercorot, Southampton.

Pengendali United, Ten Hag berang dengan keputusan pengadil ke atas Casemiro, yang turut diarah keluar padang ketika menentang Crystal Palace pada Februari, dan mendakwa pasukannya dinafikan sepakan penalti sebanyak dua kali.

"Saya rasa keputusan tidak konsisten menyebabkan pemain-pemain sekarang tidak tahu apa polisi sebenarnya.

"Saya rasa di keseluruhan liga. Lihat seperti semalam, Leicester-Chelsea, di mana VAR tidak digunakan.

"Hari ini ia digunakan dan dalam dua situasi penalti, mereka tidak digunakan. Saya rasa dalam situasi pertama amat jelas bola terkena tangan, jadi apakah polisinya?," katanya.

Ten Hag berkata, dia mempunyai beberapa soalan berkenaan pengadilan, terutama selepas Casemiro berdepan penggantungan empat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mac 2023 @ 11:19 AM