ADISAK pantas sesuaikan diri dengan rakan sepasukan. FOTO TFC
ADISAK pantas sesuaikan diri dengan rakan sepasukan. FOTO TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Penyerang import baharu Terengganu FC (TFC) kelahiran Thailand, Adisak Kraisorn meluahkan keterujaan selepas kali pertama menjejak kaki ketika menjalani latihan bersama rakan sepasukan di Kompleks Sukan Negeri Terengganu di Gong Badak, petang semalam.

Pemain yang membantu negaranya muncul juara Piala Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) dua minggu lalu akui tidak berasa kekok selain tidak mahu mengambil masa lama menyesuaikan diri dengan rakan sepasukan baharunya.

Ini kerana pemain yang meraikan jaringannya dengan gaya 'Ultraman' itu mahu fokus terutama dalam aksi pertamanya pada aksi Piala Sumbangsih menentang gergasi Liga Malaysia (Liga M), Johor Darul Ta'zim (JDT) di tempat lawan pada 24 Februari depan.

"Hari ini (semalam) hari pertama saya di TFC, tambahan pula kali pertama saya beraksi bersama kelab di luar negara sepanjang karier, jadi sudah pasti saya begitu teruja dengan cabaran baharu dalam Liga M terutama dalam misi meningkatkan lagi prestasi saya.

"Walaupun kali pertama menjalani latihan, saya akan berusaha sedaya upaya untuk berada dalam zon selesa terutama bagi mengenali dengan lebih rapat lagi corak permainan rakan sepasukan selain tidak mahu mengambil masa yang begitu lama untuk membiasakan diri dengan corak latihan jurulatih kelahiran Croatia, Tomislav Steinbruckner.

"Ini kerana fokus saya untuk aksi pertama Piala Sumbangsih yang juga aksi sulung saya nanti bersama TFC selain aksi Liga Super, Piala FA, Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) dan Piala Malaysia kerana saya pasti misi kelab mahu merangkul trofi pada musim ini," kata bekas pemain kelab Muangthong United FC dalam Liga Thailand itu.

Ketika ditanya adakah dia mengidam untuk bergelar penyerang utama skuad Penyu itu, pemain yang bakal menyarung jersi nombor sembilan itu tanpa berselindung akui mempunyai keinginan untuk berada di posisi itu sebagaimana ketika bersama pasukan kebangsaan negaranya.

Adisak yang sudah mengumpul koleksi 21 jaringan dengan 56 penampilan bersama pasukan negaranya selain pernah muncul penjaring terbanyak Piala AFF 2018 'dirantai' selama dua musim skuad Penyu bagi kuota Asean menggantikan pemain musim lalu, Manuel Ott yang memilih berhijrah bersama Kedah Darul Aman FC (KDA FC) musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 January 2023 @ 12:11 PM